Siapa ada anak perempuan?

on Khamis, 27 Disember 2012


Kali ini saya ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat satu hadis tentang fadhilat mempunyai anak atau adik beradik perempuan. Terdapat banyak lafaz hadis yang menerangkan tentang hal ini, namun supaya artikel ini tidak terlalu panjang, saya fokuskan perbincangan kepada lafaz hadis yang diriwayatkan  Sayyidina Jabir bin Abdillah R.A  :

" مَنْ كَانَ لَهُ ثَلاثُ بَنَاتٍ ، يُؤْوِيهِنَّ ، وَيَكْفِيهِنَّ ، وَيَرْحَمُهُنَّ ، فَقَدْ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ الْبَتَّةَ ، فَقَالَ رَجُلٌ مِنْ بَعْضِ الْقَوْمِ : وَثِنْتَيْنِ ، يَا رَسُولَ اللَّهِ ؟ قَالَ : وَثِنْتَيْنِ "

((“Barangsiapa yang mempunyai tiga orang anak perempuan, memberikan mereka tempat tinggal, dan mencukupkan keperluan mereka, dan berlaku belas kepada mereka, maka tentulah wajib baginya syurgamaka berkatalah salah serorang dari yang hadir : bagaimana kalau hanya punya dua orang sahaja wahai rasulullah? Rasulullah s.a.w  bersabda : walau dua orang”))

Disebutkan dalam hadis ini tiga syarat untuk mendapat balasan syurga  :

1.   Memberikan tempat tinggal (يؤويهن )

Lafaz diatas member isyarat kepada dua perkara :
                   I.            Ajarkan kepada mereka untuk tetap berada di dalam rumah dan tidak keluar kecuali atas keperluan atau untuk kebaikan.
Al-quran mengisyaratkan bahawa tempat perempuan solehah adalah di rumahnya dalam tiga ayat , Allah s.w.t berfirman :
وقرن في بيوتكن
Ertinya : dan hendaklah kamu tetap di rumahmu (Al-Ahzab : 33)
واذكرن ما يتلى في بيوتكن
Ertinya : Dan ingatlah apa yang dibacakan di rumahmu dari ayat-ayat Allah dan hikmah (Al-Ahzab : 34)
لا تخرجوهن من بيوتهن
Ertinya:Janganlah kamu keluarkan mereka dari rumah mereka (Ath-thalaq: 1)

                II.            Rumah yang ditempatkan anak perempuan tersebut hendaklah di makmurkan dengan zikir, ilmu dan amal saleh seperti mana yang tersebut dalam ayat diatas bukan rumah yang bersarangkan maksiat atau mengandungi alat-alat tayangan maksiat.

2.   Mencukupkan keperluan mereka (يكفيهن  )

Di sebutkan di sini dengan lafaz “mencukupkan” bukan memewahkan atau memberikan apa sahaja yang mereka mahu sehingga merosakkan mereka, atau menyebabkan mereka memperkecilkan atau membanding-banding pemberian ayahnya dengan apa yang diberikan oleh suaminya ketika mereka berumahtangga kelak. Pemberian hendaklah sesuai dengan firman Allah s.w.t :

والذين إذا أنفقوا لم يسرفوا ولم يقتروا وكان بين ذلك قواماً

Ertinya : Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.



3.   Berlaku kasih kepada mereka (يرحمهن )

Belas kasih yang kita faham adalah berlemah lembut, tidak berlaku kasar apatah lagi memukul mereka dan lain-lain lagi yg membawa makna yang sama, cuma belas kasih sebenarnya hendaklah mengandungi dua perkara :
             I.            Terpelihara dari api neraka dengan mengajarkan dan mendidik nilai-nilai agama agama dalam diri mereka seperti  solat, puasa, menutup aurat, sifat malu dan tegas dalam menjaga kehormatan. Allah s.w.t berfirman :

يا أيها الذين آمنوا قوا أنفسكم وأهليكم ناراً وقودها الناس والحجارة

Ertinya :( Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu)

Kalau anda benar-benar sayang dan belas kepada mereka, janganlah anda campakkan mereka dalam api neraka.

          II.            Memenuhi  naluri  dan perasaan mereka sebagai wanita, jangan masukkan dalam rumah yang anda tempatkan mereka didalamnya segala jenis penyebab yang mendakatkan mereka kepada zina sehingga berlaku peperangan batin dalam diri mereka anta syahwat dan nilai agama.
Antara bentuk kezaliman kepada anak perempuan anda adalah melambatkan pernikahan mereka ketika telah tiba usianya dan telah datang lelaki yang beragama melamarnya , diriwayatkan dalam suatu hadis (sanadnya sedikit lemah namun maknanya sahih, di hukum sebagai hasan oleh syeikh Al-albani kerana banyak syawahid) :

"إذا أتاكم من ترضون دينه وخلقه فزوجوه"
Ertinya : “ Apabila datang kepada kamu seseorang yang kamu redha dengan agama dan akhlaknya maka kahwinkanlah dia”




Kenapa panggil orang” kafir”?

on Ahad, 23 Disember 2012


Beberapa kenalan islam dan bukan islam pernah bertanya kepada saya : kenapa banyak ustaz menggelar orang bukan islam dengan gelaran kafir?  Nampak kurang sopan, tidak menghormati orang lain..soalan ini berulang lagi ketika pasca menyambut Hari Natal atau Krismas ketika membicarakan soal merayakan hari kebesaran agama lain.  Soalan telah dijawab secara lisan mauhupun melalui SMS  dgn pelbagai olahan mengikut latar belakang yang bertanya  , cuma untuk manfaat bersama saya ringkaskan sedikit di blog ini.

Pertama :
 Gelaran “ Kafir “ kepada mereka yang ingkar akan agama islam adalah istilah al-quran untuk membezakan “iman” dan kepercayaan seseorang . Jadi bukan ustaz yang gelarkan mereka, tetapi  Tuhan semesta alam yang memberikan gelaran tersebut, ustaz hanya menggunakan istilah yang di pakai oleh tuhan. Allah s.w.t berfirman :
قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ • لا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ • وَلا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ • وَلا أَنَا عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ • وَلا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ • لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ
Ertinya:
Katakanlah(wahai Muhammad): " Wahai orang-orang kafir. aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku." ( Surah Al-Kafiruun).

Kalau tidak mahu digelar demikian, silalah sembahlah Allah sebagai tuhanmu dan terimalah islam sebagai agamamu, dan ucaplah “ La ilaha illallah, Muhammadur rasulullah”.

Kedua :
Ayat diatas berbentuk lafaz umum iaitu “ wahai orang-orang kafir” lafaznya plural atau jama’ , BUKAN lafaz khusus yang  di tujukan kepada personal tertentu seperti kata “ Wahai si kafir” dengan lafaz singular atau mufrad. Islam melarang penganutnya menyeru peribadi tertentu dengan gelaran “ wahai si kafir” kerana berkemungkinan orang tersebut akan masuk islam kemudian pada suatu hari nanti, kecuali peribadi-peribadi yang telah jelas kufurnya seperti Abu Lahab, Abu Jahal dan lain-lain yang telah pun meninggal dunia.

Ketiga :
Tiap-tiap agama mempunyai istilah khusus untuk menunjukkan makna tertentu , dan istilah kafir dalam bahasa arab bermaksud  “orang yang ingkar”, dan dalam istilah agama islam ingkar di sini bermaksud ingkar dengan Allah s.w.t , kalau orang itu percaya kepada  Allah pastilah di panggil “Mu’min” iaitu orang yang percaya.  Dalam ajaran islam, orang mu’min akan masuk syurga, orang kafir akan masuk neraka. Perkara yang sama yang berlaku dalam agama yang lain, mereka mendakwa : orang yang percaya kepada agama mereka akan masuk syurga (versi mereka) dan yang ingkar akan masuk neraka. Ini perkara biasa.

Keempat :
Perkataan kufur juga dipakai untuk orang islam, dalam erti kata mereka kufur atau ingkar kepada ajaran yang lain, Allah berfirman :
مَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى  لَا انْفِصَامَ لَهَا
Ertinya :  ”Karena itu barangsiapa yang “kufur” kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus.” (Q.S. Al-Baqarah:256)

Sekian sedikit perkongsian, semoga bermanfaat. Wallahu a’lam




Kenapa tanah haram masih ada dosa?

on Rabu, 19 Disember 2012


Sebahagian manusia seolah-olah menyangka bahawa penduduk Mekah dan Madinah adalah malaikat, sehingga apabila mereka sampai di tanah haram dan terlihat beberapa orang  penduduknya melakukan suatu kesalahan, terkejutnya tidak terhingga, hatinya tidak dapat menerima, maka diperbesar-besarkanlah berita, seolah-olah itulah sifat semulajadi penduduknya,  akhirnya tersiarlah berita, seolah-olah  mereka lupa akan sifat kemanusiaan penduduknya.

 Sebaliknya, pelbagai jenayah yang berlaku luar sana, khususnya di  negara bukan bukan seagama, sama ada di selatan atau utara, eropah atau asia, mereka mengabaikannya dan menganggapnya adalah perkara biasa, namun apabila terlihat satu atau dua kebaikan yang wujud  di sana, maka terpegunlah matanya, terpikatlah hatinya, terungkaplah  segala pujian yang tak terhingga, tersebar luaslah berita di seluruh pelusuk dunia.

Terima kasih di ucapkan atas sangka baik dan harapan tinggi mereka terhadap dua tanah suci dan penduduknya , dan sekalung pujian di dipersembahkan atas sifat kemaafan dan toleransi mereka terhadap masyarakat yang berlainan agama, namun jutaan takziah di ucapkan kepada mereka atas ketidakadilan dalam kata-kata, kesalahan fokus dalam menyebar berita,  sehingga tanpa di sedari telah menyumbang kepada penyebaran nama buruk agamanya.

Ketahuilah bahawa tanah haram itu adalah salah satu dari syi’ar-syi’ar Allah, maka barang siapa yang membesarkan dan memuliakannya itu adalah salah satu tanda hati yang bertaqwa. Allah swt berfirman :
Artinya:"Dan barangsiapa mengagungkan syi'ar-syi'ar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketaqwaan hati. (Qs.Al Hajj(22):32)

Inilah coretan ringkas dari saya sebagai jawapan kepada yang bertanya, kenapa tanah haram masih ada dosa? Sedangkan dunia yang berlainan agama terlihat lebih banyak yang mempraktikkan agama.

Wallahu Ta’ala A’lam 

Gelaran Pengambil Harta Haram

on Khamis, 13 September 2012


Kali ini saya nak kongsi sedikit nota yang pernah saya catat tentang perbezaan istilah bahasa arab yang dipakai sebagai gelaran bagi pencuri atau lebih tepat, gelaran bagi pengambil harta manusia secara batil, istilah-istilah ini cukup banyak, cuma saya nak bezakan antara empat istilah yang hampir sama makna  :

السارق – المختلس – المنتهب - الغاصب

Menurut Fadhilatul Shiekh Utsaimin Rahimahullah, perbezaan antara istilah-istilah diatas adalah seperti berikut :
  1. As- Sariq : Orang yang cuba menyembunyikan perbuatannya dari awal hingga akhir
  2. Al- Mukhtalis :  Orang yang memperlihatkan dirinya dari awal hingga akhir, tidak memaksa pemiliknya untuk menyerahkan harta tetapi merebut harta tersebut dari tuannya
  3. Al- Muntahib : Sama seperti yang kedua, cuma orang ini menyembunyikan dirinya pada peringkat awal
  4. Al- Ghasib : Sama seperti yang kedua, cuma orang ini memaksa pemiliknya secara keras untuk menyerahkan harta kepadanya                                                                                              

(dipetik dari kitab : Al- Muntaqa Min Faraidil Fawaid Libni Uthaimin)



Kalau dalam istilah bahasa melayu saya cuma dapat pastikan gelaran bagi golongan pertama iaitu pencuri, manakala gelaran yang kedua, ketiga dan keempat mungkin berkisar antara beberapa istilah seperti perompak, penyamun, perampas, lanun, pembelot dan sebagainya

Mohon bantuan daripada pakar-pakar bahasa melayu untuk meletakkan istilah yang tepat bagi golongan kedua hingga keempat.



Kedudukanmu Disisi Tuhanmu

on Rabu, 12 September 2012


Sebahagian manusia mengukur kedudukannya di sisi Allah s.w.t dengan melihat jumlah rezeki yang di kurniakannya, di sangka bahawa banyaknya rezeki menandakan Allah sayang dan redha kepadanya , kurangnya rezeki menandakannya Allah menghinakannya,tidak, bukan begitu, sesungguhnya mereka tersilap, pemikiran begini telah disangkal oleh Alllah s.w.t  :

فَأَمَّا الْإِنْسَانُ إِذَا مَا ابْتَلَاهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَكْرَمَنِ (الفجر : 15)

“ Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia akan berkata: "Tuhanku telah memuliakanku".”

وأَمَّا إِذَا مَا ابْتَلَاهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَهَانَنِ (الفجر : 16)  
“Adapun tatkala Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: "Tuhanku menghinakanku"

Kekayaan bukanlah suatu kemuliaan, kemiskinan bukanlah suatu kehinaan, bukan harta yang menentukan kedudukan seseorang hamban disisi Tuhannya, Allah mengurniakan rezeki kepada hambanya yang baik mahupun jahat, yang taat ataupun ahli maksiat, baginda rasul s.a.w bersabda dalam hadis yang sanadnya baik :  

إن الله يعطي الدنيا من يحب ومن لا يحب، ولا يعطي الدين إلا لمن يحب، فمن أعطاه الله الدين فقد أحبه ( رواه أحمد)

“Sesungguhnya Allah s.w.t  memberikan dunia kepada seseiapa yang dicintai dan sesiapa yang tidak dicintai, namun Dia tidak memberi agama kecuali kepada sesiapa yang dicintai, maka, barangsiapa yang Allah s.w.t berikan kepanya agama, sesungguhnya Allah telah mencintainya”

Barangsiapa yang ingin tahu kedudukannya disisi Allah maka lihatlah kepada apa yang telah dia lakukan kepada agamanya, dua telapak kaki kemana ianya suka melangkah? dua telinga apa yang seronok didengar? Dua biji mata apa yang sering dilihat? Lidah  yang dimiliki apa yang dibicarakan? Dan tanyakanlah soalan ini pada tiap-tiap anggota diri anda, dari sini anda dapat tahu sendiri dimanakah kedudukan anda di sisi Allah s.w.t.
Wallahu Ta’ala A’lam




Dua Jenis Rezeki

on Ahad, 9 September 2012


Rezeki yang Allah kurniakan kepada hambanya  ada dua jenis :

1.       Rezeki  Umum : Iaitu rezeki  tubuh badan seperti makan, minum, harta benda dan sebagainya  yang dikurniakan kepada semua makhluk sama ada yang baik atau jahat, mu’min  atau kafir. Allah berfirman yang yang ertinya :
 “Dan tidak ada suatu yang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezekinya” . Surah Hud: 6

2.       Rezeki Khusus :  Iaitu rezeki  hati yang berisi ilmu dan iman dan rezeki  halal yang mengisi tubuh yang hanya di kurniakan kepada hamba-hambanya yang saleh. Allah berfirman yang ertinya  :

 “Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan mengerjakan amal yang saleh niscaya Allah akan memasukkannya ke dalam surga-surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah memberikan rezki yang baik kepadanya”. Surah At-Tholaq : 11




Rezeki yang pertama nikmatnya sementara manakala rezeki kedua nikmatnya kekal selamanya.

Allah melarang hambanya hanyut dalam mencari rezeki yang bakal binasa meninggalkan rezeki yang membawa bahagia selamanya. Allah berfiman yang bermaksud :

Apa yang di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan”.  Surah An- Nahl : 96  

Semoga  Allah menjadikan kita dikalangan hambanya yang saleh dan dikurniakan rezeki syurga diakhirat kelak. Allahumma Amin.



Apakah Sumbanganku Untuk Agamamu?

on Selasa, 7 Jun 2011


Ya Allah! Adakah benar selama ini aku telah berbakti kepada agamamu? Atau hanya aku berbudi kepada diriku? Adakah waktu yang ku habiskan selama ini dalam menuntut ilmu, benar- benar untuk agamamu atau hanya untuk memperbanyakkan gajiku? Adakah kesarjanaan yang ku kejar sekarang ini hanya kerana gelaran dunia dan pujian dari makhlukmu?
Ya Allah adakah selama ini telah ku curahkanku usaha-usahaku untuk agamamu? Ceramah demi ceramah, tazkirah demi tazkirah, risalah demi risalah, maqalah demi maqalah, tapi terkadang ku rasakan ianya hanya untuk diriku..segala kalimah yang ku keluarkan, segala detik yang ku luangkan, dibayar dengan gaji dan upah ..Ya Allah adakah aku benar-benar telah menyumbang untuk agamamu ya Allah?
Ya Allah adakah selama ini aku berkhidmat untuk agamamu, atau hanya menggunakan agama untuk berkhidmat pada kehendak duniaku?
Aku terfikir, apakah yang di inginkan nabi Nuh a.s selama hampir seribu tahun di kutuk sebagai si gila yang terhina? Apakah yang dimahukan nabi Ibrahim a.s sehingga dicampakkan kedalam api yang menyala? Apakah yang dikehendakkan nabi Ismail a.s sehingga sanggup disembelih sendiri oleh bapanya ? Apakah yang dikejarkan nabi Zakaria sehingga digergaji kepala dan tubuhnya?
Aku bertanya, adakah pernah Imam empat mazhab mendapat sebarang habuan duniawi dengan ilmu mereka? Adakah Imam Bukhari mensyaratkan hak cipta terpelihara untuk kitab-kitabnya? Adakah Imam Ibnu Taimiyah mengejar pangkat dengan usaha dakwahnya?..Tidak, demi Allah tidak! mereka semua tidak bekerja hanya untuk menyumbang tanpa pernah terfikir mencari sumbangan, siang dan malam mereka adalah untuk memberi, bukan untuk meminta sebarang gaji.
Ya Allah jadikanlah daku dikalangan hambamu yang ikhlas menyumbang untuk agamamu, jadikanlah aku dikalangan hambamu yang member manfaat kepada agamamu dan umatnya, bukan daripada yang memanfaatkan agamamu untuk dirinya…Amin Ya Rabbal ‘Alamin