Kenapa panggil orang” kafir”?

on Ahad, 23 Disember 2012


Beberapa kenalan islam dan bukan islam pernah bertanya kepada saya : kenapa banyak ustaz menggelar orang bukan islam dengan gelaran kafir?  Nampak kurang sopan, tidak menghormati orang lain..soalan ini berulang lagi ketika pasca menyambut Hari Natal atau Krismas ketika membicarakan soal merayakan hari kebesaran agama lain.  Soalan telah dijawab secara lisan mauhupun melalui SMS  dgn pelbagai olahan mengikut latar belakang yang bertanya  , cuma untuk manfaat bersama saya ringkaskan sedikit di blog ini.

Pertama :
 Gelaran “ Kafir “ kepada mereka yang ingkar akan agama islam adalah istilah al-quran untuk membezakan “iman” dan kepercayaan seseorang . Jadi bukan ustaz yang gelarkan mereka, tetapi  Tuhan semesta alam yang memberikan gelaran tersebut, ustaz hanya menggunakan istilah yang di pakai oleh tuhan. Allah s.w.t berfirman :
قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ • لا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ • وَلا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ • وَلا أَنَا عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ • وَلا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ • لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ
Ertinya:
Katakanlah(wahai Muhammad): " Wahai orang-orang kafir. aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku." ( Surah Al-Kafiruun).

Kalau tidak mahu digelar demikian, silalah sembahlah Allah sebagai tuhanmu dan terimalah islam sebagai agamamu, dan ucaplah “ La ilaha illallah, Muhammadur rasulullah”.

Kedua :
Ayat diatas berbentuk lafaz umum iaitu “ wahai orang-orang kafir” lafaznya plural atau jama’ , BUKAN lafaz khusus yang  di tujukan kepada personal tertentu seperti kata “ Wahai si kafir” dengan lafaz singular atau mufrad. Islam melarang penganutnya menyeru peribadi tertentu dengan gelaran “ wahai si kafir” kerana berkemungkinan orang tersebut akan masuk islam kemudian pada suatu hari nanti, kecuali peribadi-peribadi yang telah jelas kufurnya seperti Abu Lahab, Abu Jahal dan lain-lain yang telah pun meninggal dunia.

Ketiga :
Tiap-tiap agama mempunyai istilah khusus untuk menunjukkan makna tertentu , dan istilah kafir dalam bahasa arab bermaksud  “orang yang ingkar”, dan dalam istilah agama islam ingkar di sini bermaksud ingkar dengan Allah s.w.t , kalau orang itu percaya kepada  Allah pastilah di panggil “Mu’min” iaitu orang yang percaya.  Dalam ajaran islam, orang mu’min akan masuk syurga, orang kafir akan masuk neraka. Perkara yang sama yang berlaku dalam agama yang lain, mereka mendakwa : orang yang percaya kepada agama mereka akan masuk syurga (versi mereka) dan yang ingkar akan masuk neraka. Ini perkara biasa.

Keempat :
Perkataan kufur juga dipakai untuk orang islam, dalam erti kata mereka kufur atau ingkar kepada ajaran yang lain, Allah berfirman :
مَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى  لَا انْفِصَامَ لَهَا
Ertinya :  ”Karena itu barangsiapa yang “kufur” kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus.” (Q.S. Al-Baqarah:256)

Sekian sedikit perkongsian, semoga bermanfaat. Wallahu a’lam




0 ulasan:

Catat Ulasan