Sekadar Luahan Perasaan

on Isnin, 26 April 2010

Ketika sedang duduk membaca email, bibirku tersenyum sendiri teringatkan kisah silam. Aku pernah berpengalaman menjadi seorang guru, pengantin, hakim, qadi, polis, askar, raja, pahlawan, batman, ultraman, dan macam-macam lagi ketika masih belum mengenal seabjad huruf.

Ketika menjadi pengantin dulu, aku cuma berseluar pendek, manakala pasanganku cukup zuhud ber"make-up"kan air perahan daun-daun rumput yang berada di sekeliling. Sedih! Maklumlah bajet kecil. Tapi ada pasangan kanak-kanak sepertiku yang bajetnya agak besar, majlis pernikahan mereka agak mewah, berpelaminkan busut, diandam dan dihiasi dengan produk-produk yang bersumberkan pohon ubi kayu, keledek dan keladi, di apit kiri dan kanan oleh dua dayang, di kipas dengan daun pisang. Hmm! Sangat indah pengalaman masa itu.

Persoalan yang ingin aku luahkan dalam artikel blogku kali ini ialah : Apakah definasi tepat untuk istilah " kahwin, qadi, pahawan, askar, polis" dan sebagainya dalam kamus pemikiran kanak-kanak? adakah apa yang mereka faham seperti yang golongan dewasa fahami? Sedangkan perkataan, tajuk, istilah yang mereka ketengahkan di forum-forum mereka persis dengan perkataan, tajuk, istilah yang golongan dewasa gunakan dalam forum mereka.

Dalam dunia ini, semua orang boleh katakan apa yang mereka mahu, semua orang boleh fikir apa yang mereka hendak, semua orang boleh faham apa yang mereka ingin. Tetapi, perkataan siapakah yang benar? pemikiran siapakah yang sahih? Pemahaman siapakah yang tepat? Ini dalam soal hal ehwal dunia, yang dapat dilihat dengan mata, dapat didengar dengan telinga, dapat dicapai dengan panca indera, namun manusia masih berbeza. Apatah lagi apabila mereka membincangkan soal agama, dosa pahala, nikmat sengsara, syurga neraka, yang tidak pernah di pandang mata, tidak pernah didengar telinga, tidak pernah di capai panca indera, sudah pasti manusia akan berbeza. Perbezaan soal agama tidak akan terungkai dengan kata pujangga, tidak akan terlerai dengan pemikiran manusia, tidak akan usai dengan rasa panca indera, ianya hanya akan selesai dengan arahan pencipta, yang hanya sampai pada rasulnya.

Urusan agama harus di dasari dengan firman ilahi, yang diperincikan hukumnya oleh nabi, yang diajarkan kepada sahabat baginda sendiri, lalu diajarkan pada tabií, kemudian disalurkan pada yang mengikuti. Mereka inilah generasi yang paling memahami urusan agama ini, generasi yang paling baik pernah wujud di muka bumi, sebagaimana yang pernah di sabda Nabi dalam hadis yang diriwayatkan Bukhari :


خَيْرُكُمْ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ
"Sebaik-baik kalian mereka yang bersama kurunku ini, kemudian yang sesudahnya, kemudian yang sesudahnya"

Sangat benar sabda baginda, amat tepat apa yang dikata, sejarah dunia menjadi buktinya. Agama ini amat terjaga dizaman mereka, quran dan sunnah terpelihara, ibadah dan syaráh terlaksana, bidáh dan khurafah tertunduk hina, ahli sunnah dan jama'ah menjadi panglima dunia. Ya! Inilah natijahnya apabila agama ditunjangkan pada sumber aslinya.

Amat sedih apabila aku fikirkan apa yang berlaku sekarang. Kanak-kanak agama mula bersuara, istilah-istilah agama mula diguna, dalil-dalil agama dijadikan senjata, bukan untuk mempertahankan isi agama, bukan untuk menzahirkan identitinya, bukan untuk memelihara keasliannya, tetapi untuk mempertahankan maslahah dunia, sehingga sanggup menikam agama yang sedia terluka, gara-gara senjatanya diguna untuk bergurau senda, oleh kanak-kanak yang bergelar ketua lembaga, bergelar hakim bijaksana, bergelar pahlawan negara dalam dunia agama kanak-kanak mereka.

Dalam dunia moden, semua perkara adalah bebas, dari yang di bumi hingga ke angkasa lepas, semua orang memiliki media tersendiri, semua orang boleh katakan apa yang mereka mahu, semua orang boleh fikir apa yang mereka hendak, semua orang boleh faham apa yang mereka ingin. Tetapi, adakah semua perkataan itu benar? Semua pemikiran itu sahih? Semua pemahaman itu tepat? Tidak! Seribu kali tidak.

Bagaimana boleh ku terima istilah-istilah yang mereka jaja " Sunnah itu adalah apa yang ditambah-tambah, ibadah itu adalah apa yang nenek moyangku sembah, syariáh itu adalah apa yang diputuskan dimahkamah, aqidah itu adalah apa yang akalku katakan sah". Keliru! Sangat keliru!

Kadang kadang air mataku mengalir memikirkan keadaan ummah. Syubuhat aqidah, penyelewengan ibadah, penyuburan bidáh semuanya dianggap sebagai hasanah. Manakala quran dan sunnah, fahaman salaful ummah dianggap punca umat berpecah, sehingga diri ini serba salah, dipandang sebagai pesalah, dipaksa untuk mengalah, disuruh menyerah kepada apa yang aku pasti bukan dari syariáh. Kalau bukan kerana izzah yang dijanjikan Allah, sudah pasti badanku lemah, semangatku patah, cuba menyerah kepada yang salah.

Wahai diriku! Yakinlah! Kalau kamu inginkan kemuliaan, jika kamu mahukan keizzahan, pastikan dirimu bersama al-quran, ikatkan dirimu dengan sunnah rasul junjungan, ikutkan jejak langkahmu pada zaman-zaman pilihan, teruskan perkataan yang baik, teruskan beramal soleh, pasti izzah yang kamu inginkan akan hadir walau ada yang cuba menghalang. Ingatkan selalu firman tuhan :

مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْعِزَّةَ فَلِلَّهِ الْعِزَّةُ جَمِيعًا إِلَيْهِ يَصْعَدُ الْكَلِمُ الطَّيِّبُ وَالْعَمَلُ الصَّالِحُ يَرْفَعُهُ

"Barangsiapa yang menghendaki kemuliaan, maka bagi Allah-lah kemuliaan itu semuanya. Kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang saleh dinaikkan-Nya"


Sekian! Sekadar keluhan yang ku ukir dalam bentuk tulisan agar jadi batu loncatan untuk ku terus berjuang.

1 ulasan:

5senses berkata...

Luahan perasaan yg bagus..jd pedoman buat yang membaca..syukran jazilan.

Catat Ulasan