Bismillah….Amma Ba'd :
Aqal manusia ibarat ladang, berfikir bagaikan menanam, sekiranya benih yang ditanam itu sering disiram, sudah tentu akan tumbuh menjadi pohonan, akarnya menjalar, batangnya kukuh besar, tidak mudah ditumbangkan.
Ramai yang tertipu dengan ideologi, fahaman dan budaya yang dilempar benihnya oleh musuh islam dalam diri mereka. Fahaman ini kemudiannya terus disiram, dibelai sehingga tumbuh tegap menjadi suatu prinsip dan pendirian yang tidak mudah diubah atau ditumbangkan.
Tidak hairanlah apabila kita melihat sebahagian orang islam yang bermati-matian siang dan malam, pagi dan petang mempromosikan candu syubuhat dan ganja syahawat yang diimport dari musuh dan dipasarkan dalam pasaran masyarakat, sehingga hasil keuntungannya telah dirasai dan dinikmati bersama oleh pembekal, pengimport, pengedar, peniaga dan penjaja pahaman dan pemikiran tersebut.
Fenomena pengimportan fahaman dan budaya yang bertentangan dengan agama membuat kita amat berduka. Namun, paling kurang kita kenal bahawa sekularisme, feminisme, hedonisme dan sebagainya bukan dari agama, hanya bahan import semata.
Sesuatu yang lebih membimbangkan kita, apabila ada yang mendakwa sebagai golongan agama mula menjaja dan menaja sesuatu perkara yang bertentangan dengan ajarannya, tetapi dilebelkan dengan jenama agama. Tajuk yang ingin saya kongsikan bersama untuk difikirkan seketika walaupun mungkin ada yang akan terasa, namun diharapkan dapat meningkatkan kefahaman kita kepada agama, dan menjadi hujah didepan Allah bahawa saya telah menyampaikan apa yang saya tahu, saya berharap kepada rakan-rakan taulan yang terlibat dengan amalan seperti ini agar meninggalkannya dan kembalilah beramal ibadah kepada Allah dengan cara yang diajarkan syariat . Tajuk yang saya maksudkan ialah
" Melompat dan menari mencari redha Ilahi"
Kedengaran pelik, tapi benar. Amalan menari, berjoget, melompat-lompat sambil memekikkan zikir dan doa mula tersebar dengan meluas dalam masyarakat kita sekarang. Malah, golongan yang pro kepada amalan-amalan sebegini mula mencari-cari dalil dari quran atau sunnah untuk membenarkan apa yang mereka lakukan. Saya tidak faham bagaimana cara mereka memahami firman Allah s.w.t dalam surah Al-'Araf, Ayat 55:
ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
"Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas".
Perlu diingatkan bahawa perbincangan saya hanya berbentuk akademik dan berbentuk umum tanpa menyentuh atau ditujukan pada individu tertentu. Demikian juga tajuk yang saya bawa memfokuskan masalah berjoget dan menari untuk tujuan ibadah atau lebih mudah difahami beribadah kepada Allah dengan berjoget, bukan pada hukum berhibur dengan berjoget atau berjoget untuk berhibur, walaupun kedua masalah mempunyai banyak persamaan, namun masalah hiburan memerlukan perbincangan khas.
Dua dalil asas yang sering digunakan sebagai oleh golongan yang membolehkan joget sambil berzikir ialah:
1. Firman Allah SWT :
الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
(آل عمران : 191)
"Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): 'Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.'"
(Surah 'Ali-'Imran ayat 191).
Golongan yang menyokong tarian zikir berhujah bahawa dalam ayat ini menerangkan bahawa zikrullah boleh dilakukan dalam pelbagai keadaan dan
Mereka juga berhujah bahawa Rasulullah SAW berzikrullah (berzikir kepada Allah) dalam semua keadaan. Sedang berjalan, menaiki kenderaan, di atas kenderaan, berbaring, duduk dan bermacam lagi pernah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.
Jawapan :
Tidak dinafikan bahawa Rasulullah SAW berzikir dalam setiap keadaan, hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah dalam sahih muslim menjadi bukti. Manakal ayat al-quran diatas menerangkan keadaan golongan ulil albab yang berfikir tentang makhluk ciptaan Allah dan berzikir padaNya dalam setiap keadaan dalam kehidupan mereka, kerana manusia tidak terlepas dari tiga keadaan, sama ada berdiri, duduk, atau berbaring.
Tidak ada sebarang perbezaan pendapat dan pandangan disini. Namun, soalnya, adakah makna ayat ini menyokong perbuatan menari dan berjoget untuk berzikir? adakah ayat membolehkan diadakan acara ritual khusus dengan melompat, menari dan berjoget? Tidak!...ayat ini hanya menerangkan secara umum masyru'nya berzikir dalam setiap masa dan keadaan, sedangkan wujud keadaan tertentu yang dilarang berzikir padanya, ketika dalam tandas. Begitu juga perlu diingatkan bahawa apabila ingin dikhususkan ibadah yang am dengan waktu tertentu, atau tempat tertentu, atau cara tertentu, atau dihadkan dengan bilangan tertentu, atau dikatakan mempunyai fadhilat tertentu, maka wajib mempunyai dalil yang sahih dan kukuh untuk tujuan tersebut, bukan dengan mudah mewajibkan atau mensunatkan sesuatu amalan dengan sewenang-wenangnya.
Mamang boleh berzikir pada bila-bila masa, tetapi apabila dikhususkan "Pada waktu sekian, ini zikirnya. Ketika kamu tiba di tempat sekian, ini zikirnya. Apabila kamu berzikir dengan lafaz sekian, ini caranya. Apabila kamu baca zikir sekian, ini bilangannya". Semua jenis pengkhususan ini memerlukan dalil yang sahih. Kalau memang mempunyai dalil, silakan! seperti mengkhususkan beberapa zikir tertentu pada waktu pagi dan petang, wirid-wirid tertentu selepas solat, dan waktu-waktu lain yang mempunyai dalil. Begitu juga, apabila dikhususkan tempat atau keadaan tertentu dengan zikir tertentu, kalau ada dalil, silakan! seperti zikir tertentu ketika di arafah, doa tertentu ketika tawaf, dan sebagainya. Begitu juga apabila dikhususkan dengan cara tertentu untuk zikir tertentu, seperti zikir ketika ruku', sujud, atau dikhususkan bilangan seperti baca tasbih, tahmid dan takbir sebanyak 33 kali selepas solat, baca beberapa zikir pagi petang sebanyak 3 kali, dan sebagainya…semua ini wajib mempunyai dalil sahih. Kalau tidak mempunyai dalil, ibadah am tetap am, zikirlah apa-apa zikir yang lafaznya diajarkan agama, pada bila-bila masa, di mana-mana, dalam keadaan apa jua, berapa banyak juga yang termampu.
Apakah dalil orang mengkhususkan cara berzikir dengan berjoget, melompat, dan menari? Dimanakah dalil mereka yang mengkhususkan lafaz tertentu untuk upacara ritual zikir mereka? Apakah dalil bagi setengah mereka yang mengkhususkan waktu tertentu untuk upacara mereka? Apakah dalil mereka menggabungkan muzik dan tarian yang menjadi syiár golongan fasik dalam ibadah mereka?
Apabila ditanya, ramai pengikut-pengikut hanya menjawab "urusan ini kami serahkan pada sheikh, kamu ikut sahaja", apabila ditanyakan pada sheikh, macam-macam jawapan yang diterima, ramai yang menyerahkan urusan mencari dalil pada sheikh yang lebih besar, tidak kurang yang marah apabila ditanya, kerana dikatakan tidak beradab dengan sheikh, apabila dirujuk pada karangan pengasas-pengasas amalan seperti ini, ramai yang berdalilkan mimpi, ilham, gerak hati, pengalaman, rasa khusyu'dan sebagainya. Soalnya, sejak bilakah mimpi-mimpi ,gerak hati dan sebagainya menjadi dalil pada amalan agama? Apa gunanya kita belajar usul fiqh untuk menentukan dalil yang boleh dipakai dalam syariát? Apa gunanya kita mengkaji al-quran dan al-sunnah sebagai rujukan dalam kehidupan? Semua kita bermimpi, semua mempunyai gerak hati, semua mempunyai ilham… mungkin maqam berbeza! Tetapi siapa yang dapat menentukan kedudukan maqam seseorang di sisi Allah? Siapakah yang mengetahui perkara ghaib seperti ini?... semoga Allah memberi petunjuk pada hambanya yang tersilap.
2. Mereka juga berhujah dengan hadis yang di riwayatkan oleh Imam Ahmad-rahimahullah- dalam kitab Al- Musnad, bernombor 857 :
عن هانئ بن هانئ عن على رضي الله عنه قال : أتيت النبي صلى الله عليه و سلم وجعفر وزيد قال فقال لزيد : (أنت مولاي) فحجل قال : وقال لجعفر( أنت أشبهت خلقي وخلقي) قال فحجل وراء زيد قال وقال لي( أنت منى وأنا منك) قال فحجلت وراء جعفر.
" Daripada Hani' bin Hani', daripada Ali -radiyallhuanhu- berkata : Aku telah datang kepada rasulullah saw bersama Ja'far dan Zaid – radhiyallahu'anhum- , maka baginda berkata kepada Zaid : ( Kamu adalah 'maula'ku (kekasih), maka zaid pun melompat. Dan baginda berkata kepada Ja'far : Allah menjadikan rupa parasmu dan akhlakmu seiras dengan Allah menciptakan daku, lalu Ja'far pun melompat di belakang Zaid. Dan rasulullah berkata kepadaku (Ali) : Kamu sebahagian dariku dan aku sebahagian darimu. Maka, aku pun melompat di belakang Ja'far".
Jawapan :
Pertama :
Hadis diatas mempunyai dua kecacatan :
1. Diriwayatkan oleh Hani' bin Hani' perawi yang "Jahalah hal" iaitu tidak diketahui keadaannya. Hadis yang diriwayatkan oleh perawi sebegini secara bersendirian adalah lemah dalam ilmu penilaian hadis.
Ibn Hajar Al-Asqalani berkata :
"Ibn Saád meletakkan beliau pada tabaqoh pertama di kalangan ahli Kufah, lalu berkata : Mempunyai unsur-unsur syiáh, manakala Ali Al-Madini berkata : Majhul (tidak diketahui keadaannya dalam periwayatan hadis), dan Harmalah memberitahu bahawa Imam Syafií berkata : Ulama-ulama hadis tidak mengetahui keadaannya maka mereka tidak mensabitkan hadis-hadisnya oleh yang demkian itu".
2. Tadlis Ibnu Ishak Al- Sabi'i. Hadis-hadis yang di riwayatkan oleh Ibnu Ishak secara tadlis adalah lemah.
Jadi, kesimpulannya hadis yang menyatakan bahawa sahabat melompat pada riwayat ini adalah lemah menurut ulama hadis.
Kedua :
Dalam hadis sahih tentang kisah diatas yang diriwayatkan Imam Bukhari , tidak disebutkan perkataan melompat (hajal) yang difahami oleh sebahagian orang sebagai menari seperti dalam riwayat ini.
Ketiga :
Kalaulah dikatakan bahawa hadis ini sahih sekalipun, hadis ini tidak menjadi hujah kepada orang-orang yang berzikir secara menari. Lafaz hadis hanya menunjukkan bahawa sahabat-sahabat tersebut melompat gembira dengan mengangkat kaki sebelah seperti yang dilakukan oleh orang habsyah (Hajal), kerana terlalu girang mendengar pujian rasulullah s.a.w kepada mereka. Melompat gembira dengan cara begini sememangnya harus di sisi syara' selagi tidak mengurangkan adab seorang muslim. Jadi, dimanakah hujahnya bahawa boleh berzikir secara menari atau berjoget?
Keempat :
1. Imam Ibnu Qudamah Al-Maqdasi (meninggal pada tahun 620 H).
Imam Muwaffiquddin Ibnu Qudamah Al- Maqdasi -rahimahullah- telah ditanya :
Apakah pendapat tuan yang faqih mengenai seorang yang mendengar rebana, seruling, nyanyian, dan hadir pada majlis tersebut, bahkan dia menari, adakah halal atau tidak perbuatan ini? Sedangkan dia berkeyakinan bahawa dirinya cinta kepada Allah, mendengar, hadir, dan menyanyi kerana Allah? Terangkanlah fatwa tuan kepada kami, semoga Allah membalasi tuan dengan ganjarannya, dan merahmati diri tuan.
Ibnu Qudamah berkata :
Jawapannya :
Sesengguhnya pelaku perbuatan ini bersalah, kehormatan dirinya jatuh. Orang-orang yang mengamalkan perbuatan ini secara berterusan : kesaksiannya ditolak disisi syara', perkataannya tidak diterima, rentetan daripada ini : tidak diterima periwayatannya dalam hadis rasulullah s.a.w, tidak diterima juga kesaksiannya dalam melihat anak bulan ramadhan, dan tidak diterima berita-berita agama yang dibawa.
Manakala keyakinan bahawa dirinya cinta pada Allah : sesungguhnya kecintaan dan ketaatan tersebut mungkin terjadi selain dari amalan ini, dan mungkin dia mempunyai hubungan dan amalan yang baik dengan Allah selain daripada situasi yang disebutkan ini.
Sedangkan amalan ini : merupakan satu maksiat dan permainan senda, yang dikeji oleh Allah dan rasulnya, dibenci pula oleh ahli ilmu dan mereka menamakan berbuatan ini sebagai bidáh dan melarang dari berlakunya. Tidak boleh bertaqarrub dengan Allah dengan melakukan maksiat kepadanya, tidak boleh juga ketaatan kepada Allah terjadi dengan melakukan larangannya. Barangsiapa yang menjadikan wasilah kepada Allah dengan maksiat dia patut dipulau dan dijauhkan, dan barangsiapa menjadikan permainan dan persendaan sebagai agama, mereka adalah seperti orang yang berusaha menyebarkan kerosakan diatas muka bumi, dan orang-orang yang ingin sampai kepada Allah bukan dengan cara rasulullah s.a.w dan sunnahnya, maka dia sangat jauh untuk mencapai apa yang diidamkannya".
Sila lihat manuskrip : "sebahagian fatwa yang mengutuk penggunaan seruling, tarian dan pendengaran muzik" oleh Imam Ibnu Qudamah, helaian yang kedua(diambil dari al-alukah).
2. Imam Sultanul Ulama Izzuddin bin Abdus Salam –rahimahullah-(meninggal pada tahun 620 H).
Imam izzuddin Abdus Salam adalah salah seorang ulama besar dalam mazhab syafií sehingga digelar "Sultan Ulama". Dalam sebuah artikel yang ditulis oleh seorang pro kepada tarian zikir, mengatakan bahawa Imam ini Ikrar dan bersetuju dengan amalan ini. Namun setelah saya rujuk penulisan tokoh ini sendiri, saya mendapati sesuatu yang sebaliknya. Berikut saya kongsikan apa yang telah beliau sebutkan dalam kitabnya "Qawaidul Ahkam Fi Masalihil Anam" :
" …Manakala tarian dan tepukan : ianya adalah keringanan (akal) dan kebodohan menyerupai gerakan perempuan, tidak ada yang melakukan demikian itu kecuali orang yang cacat akalnya, atau berpura-pura lagi pembohong, bagaimana dia boleh menari mengikuti dengan irama nyanyian daripada orang yang telah hilang jiwanya, dan telah tiada hatinya! Sedangkan rasulullah s.a.w telah pun bersabda : (Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian kurun yang selepasnya, kemudian yang selepasnya).
Tidak pernah seorang pun yang boleh diikuti amalan mereka melakukan sebarang perbuatan demikian, sesungguhnya demikian itu hanyalah penguasaan syaitan keatas suatu kaum yang menyangka lenggokan mereka ketika mendengar(nyanyian yang dianggap zikir) adalah bentuk pergantungan dengan Allah azza wa Jalla. Sesungguhnya mereka telah tertipu dengan apa yang mereka kata, dan menipu dalam apa yang mereka dakwa. Mereka mendakwa bahawa mereka mendapat dua kelazatan ketika mendengar apa yang didendangkan, Pertama: kelazatan ma'rifah dan keadaan bergantung pada Allah, Kedua: kelazatan suara, lenggokan nada, kata-kata yang tersusun yang membawa kepada kelazatan nafsu yang bukan dari agama dan tiada kaitan dengannya. Tatkala makin besar dua kelazatan ini yang mereka rasa, mereka tersilap dan menyangka bahawa terkumpulnya kelazatan itu berlaku dengan ilmu ma'rifat dan keadaan, akan tetapi tidak begitu, bahkan yang sering berlaku hanyalah kelazatan nafsu semata yang tiada kaitan dengan agama.
Sebahagian ulama mengharamkan tepukan tangan, kerana hadis rasulullah s.a.w: "sesungguhnya tepukan hannya untuk perempuan" dan rasulullah melaknat perempuan yang menyerupai lelaki, begitu juga lelaki yang menyerupai perempuan.
Barangsiapa yang merasai kehebatan Allah, dan menyedari kebesarannya, tidak dapat dibayangkan akan timbul dari dirinya tarian dan tepukan, dan tidak timbul tarian dan tepukan kecuali dari orang yang dungu lagi jahil, tidak akan berlaku pada yang berakal dan mulia.
Bukti kejahilan pelaku kedua perbuatan ini ialah bahawasanya syariát tidak mengajarkannya tidak dari Al-Quran, juga tidak dari Al-Sunnah, juga tidak dilakukan walau seorang dari nabi-nabi, dan tidak diendahkan oleh pengikut-pengikut para nabi, bahkan ianya hanya dilakukan oleh golongan jahil lagi bodoh yang terkeliru hakikat sesuatu dengan nafsu mereka.
Sesungguhnya Allah telah berfirman :"dan kami telah turunkan padamu sebuah kitab yang menerangkan segala perkara", ulama salaf terdahulu telah pergi, begitu juga dengan golongan terhormat dari golongan khalaf kemudian, tiada sebarang perkara yang mengelirukan mereka. Barangsiapa yang melakukan yang demikian, dan yakin bahawa itu merupakan suatu tujuan dirinya, demikian itu bukanlah suatu yang mendekatkan dirinya pada tuhannya, dan sekiranya dia meyakini bahawa demikian itu tidak dilakukan kecuali ingin bertaqarrub dengan Allah, sangat kejinya apa yang telah dilakukan, kerana dia menyangka perbuatan ini sebahagian dari ketaatan, sedangkan ianya hanya suatu bentuk kebodohan"
(Qawaidul Ahkam Fi Masalihil Anam, jilid 2, m/s 349-350, cetakan muassasah Al-Rayyan)
Akhir sekali saya menyeru kepada rakan-rakan yang terpengaruh dengan ajaran tarian zikir ini kembali ke jalan syariat dalam beribadah, sesungguhnya sekiranya berzikir sambil menari itu baik sudah tentu telah ditunjukkan oleh rasulullah, sahabat-sahabat, dan pengikut- pengikut mereka. Agama yang menjamin mereka masuk syurga dahulu, itu jugalah agama yang akan membawa kita ke syurga. Islam tetap islam, dulu, kini, dan selamanya.
Wallahu A'lam. Wasallallhu '
0 ulasan:
Catat Ulasan