Pengalaman Di Pagi Hari

on Ahad, 25 April 2010

Alhamdulillah pada pagi tadi, pagi ahad 25 April 2010, saya berjaya tiba di kelas lebih awal dari biasa, kerana sudah menjadi kebiasaan, saya hanya akan hadir di kelas tepat pada jam 7.30 pagi, maklumlah bangunan Fakuti Da'wah dan Usuluddin terletak bersebelahan bangunan hostel yang saya tinggal, hanya memerlukan beberapa langkah untuk tiba di kelas pengajian.

Pada pagi ini, saya dapat merasakan semangat yang luar biasa, badan sehat segar, muka berseri-seri, bibir tersenyum sambil megucapkan salam pada setiap orang yang saya temui, kaki terasa ringan untuk melangkah hadir dalam subjek "Tadribud Duáat" iaitu "Latihan pendakwah", salah satu subjek yang diajarkan kepada pelajar-pelajar di peringkat sarjana dakwah, subjek ini bertujuan melatih pelajar berdakwah secara praktikal mengikut adab dan tatatertib islam yang digabung dengan ilmu pengucapan awam moden. Antara yang diajarkan ialah bagaimana berkhutbah, berceramah, berforum, berucap dalam radio dan tv, dan sebagainya.

Ketika saya sampai di kelas, saya dapati pensyarah subjek , Al-Sheikh Abd Rab Nawwabuddin Ali-Nawwab, telah menunggu di kelas bersama beberapa orang rakan-rakan pelajar. Sheikh Abd Rab merupakan salah seorang profesor dalam bidang dakwah di Universiti Islam Madinah yang terkenal dan dihormati di Arab Saudi, beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam berdakwah di dalam dan luar negara terutama di Amerika Syarikat dan negara-negara eropah.

Apabila tiba jam 7.35 pagi, kelas dimulakan. Setelah menyampaikan beberapa nasihat penting untuk pelajar-pelajar, beliau membacakan senarai nama pelajar-pelajar yang dikehendaki untuk menyampaikan khutbah didepan kelas pada hari ini dan diadili oleh 14 orang pelajar yang lain bersama sheikh, seorang demi seorang nama disebutkan…ternyata nama saya disebutkan bersama pelajar-pelajar tersebut. Dengan spontan saya bersuara " Sheikh! Bukan jadual saya berkhutbah hari ini", sambil tersenyum beliau menyemak semula senarai di laptop beliau, lalu berkata " Tidak! Hari ini memang jadual kamu berkhutbah, tajuk yang kamu pilih : Amalan- amalan untuk mencari cinta dari Allah"

Subhanallah! Dengan serta merta keadaan dalam diri saya berubah, perut yang tadi sehat menjadi sakit, muka yang tadi bersiri menjadi pucat, bibir yang tadi tersenyum ditutup rapat, kaki yang tadi ringan menjadi berat…Ya Allah! Macam mana ni? Masa sudah dekat, nak buat persediaan pun tak sempat, tajuk pula tidak bebas, kena berkhutbah secara spontan selama sepuluh minit, dalam bahasa arab pula tu… saya cuba kumpulkan isi-isi yang hendak disampaikan sambil mendengar rakan yang telah mulak berkhutbah..Ya Tuhanku! satu isi pun tak kunjung tiba di benak fikiran saya pada masa itu, sedangkan tajuk yang sama pernah saya sampaikan dalam bahasa arab kepada pelajar-pelajar peringkat ijazah dari Kemboja ketika menggantikan kelas Sheikh Abu Bakar Al- Bakhit, di Pejabat Dakwah Warga Luar berdekatan dengan Masjid Nabawi.

Hati saya semakin tidak tenang, muka kawan-kawan yang sedia mengkritik terbayang bagaikan juri-juri Akademi Fantasia, cermin mata semakin kabur… Ya Allah! Tolonglah hambamu ini wahai yang Maha Penolong!...saya pun mengangkat tangan meminta izin untuk keluar. Apa lagi! Dengan pantas saya ke bilik hostel yang tidak jauh dari kuliah, terus saya bongkar meja tulis mencari kertas persediaan yang pernah saya coret dulu ketika menggantikan Sheikh Abu Bakar Al- Bakhit, tapi malangnya kertas itu tidak saya temui…tiada cara lain, terpaksa minta bantuan dengan "Maktabah Syamilah" dalam lap top… tatkala laptop di buka, terpampang di desktop fail word yang bertajuk "10 sebab untuk di cintai Allah", antara koleksi penulisan peribadi dalam bahasa arab, isi utamanya saya nukil dari kitab "I'lamul Muwaqqiín" oleh Ibnul Qayyim Al-jauzi.

Fail word inilah penyelamat keadaan- selepas pergantungan pada Allah- , isi-isinya sangat berharga, dipenuhi dengan dalil-dalil dari Al-Quran dan Al-Sunnah serta kata-kata salafus salih. Fail ini saya baca sekali imbas, lalu saya salin dalil-dalil yang perlu diatas kertas nota kecil, lalu saya bawa bersama ke kelas. Tatkala saya tiba di kelas, Sheikh sedang membuka peluang kepada pengkritik-pengkritk yang menjadi juri penilai kepada khutbah dua rakan dari Mesir dan Afghanistan yang mendahului saya menyampaikan khutbah.

Setelah duduk sebentar, Sheikh pandang pada saya sambil tersenyum lalu bertanya "adakah kamu bersedia" saya menjawab "Ya", lalu saya kedepan memulakan khutbah.
Alhamdulillah! Allah lancarkan lidah saya dan dapat menyampaikan isi khutbah dengan baik walaupun terdapat kesilapan kecil baris nahu pada beberapa perkataan... Alhamdulillah! Setelah dibuka peluang untuk kawan-kawan memberi pandangan dan mengkritik khutbah yang saya sampaikan, ternyata sangat sedikit yang diperingatkan. Malah, beberapa kritikan rakan-rakan terutama berkaitan uslub balaghah " Iltifat min Sighatil Jamí ila Mufrad" yang saya guna dalam khutbah, dipertahankan oleh Sheikh sendiri dan beliau menyatakan uslub itu digunakan oleh Al-Quran dan Al-Sunnah pada banyak tempat, walaupun jarang digunakan dalam khutbah-khutbah moden.

Alhamdulillah! Selesai sudah segala masalah, badan, muka, bibir, kaki kembali normal seperti biasa. Insya-Allah, latihan forum yang akan saya pengerusikan dua minggu lagi akan berjalan lancar, tanpa sebarang masalah. Amin…

2 ulasan:

5senses berkata...

wah....mabruk2, alhamdulillah! kalau sy di tempat ustaz,..- mmdgkn kuliah kami berdekatan dgn klinik..sy akan ke klinik trus ambil MC rasanya..(^^) xboleh nak work or present under pressure, tambah plk kalau tugasan yg diberi markah..

Abu Mubarak berkata...

Terima kasih...Nak ambil mc macam mana? pagi-pagi sampai, bukan main aktif lagi depan sheikh..siap bertanya khabar lagi..kononnya nak ambil hati sheikh la masa tu.

Catat Ulasan