Sekadar Luahan Perasaan

on Isnin, 26 April 2010

Ketika sedang duduk membaca email, bibirku tersenyum sendiri teringatkan kisah silam. Aku pernah berpengalaman menjadi seorang guru, pengantin, hakim, qadi, polis, askar, raja, pahlawan, batman, ultraman, dan macam-macam lagi ketika masih belum mengenal seabjad huruf.

Ketika menjadi pengantin dulu, aku cuma berseluar pendek, manakala pasanganku cukup zuhud ber"make-up"kan air perahan daun-daun rumput yang berada di sekeliling. Sedih! Maklumlah bajet kecil. Tapi ada pasangan kanak-kanak sepertiku yang bajetnya agak besar, majlis pernikahan mereka agak mewah, berpelaminkan busut, diandam dan dihiasi dengan produk-produk yang bersumberkan pohon ubi kayu, keledek dan keladi, di apit kiri dan kanan oleh dua dayang, di kipas dengan daun pisang. Hmm! Sangat indah pengalaman masa itu.

Persoalan yang ingin aku luahkan dalam artikel blogku kali ini ialah : Apakah definasi tepat untuk istilah " kahwin, qadi, pahawan, askar, polis" dan sebagainya dalam kamus pemikiran kanak-kanak? adakah apa yang mereka faham seperti yang golongan dewasa fahami? Sedangkan perkataan, tajuk, istilah yang mereka ketengahkan di forum-forum mereka persis dengan perkataan, tajuk, istilah yang golongan dewasa gunakan dalam forum mereka.

Dalam dunia ini, semua orang boleh katakan apa yang mereka mahu, semua orang boleh fikir apa yang mereka hendak, semua orang boleh faham apa yang mereka ingin. Tetapi, perkataan siapakah yang benar? pemikiran siapakah yang sahih? Pemahaman siapakah yang tepat? Ini dalam soal hal ehwal dunia, yang dapat dilihat dengan mata, dapat didengar dengan telinga, dapat dicapai dengan panca indera, namun manusia masih berbeza. Apatah lagi apabila mereka membincangkan soal agama, dosa pahala, nikmat sengsara, syurga neraka, yang tidak pernah di pandang mata, tidak pernah didengar telinga, tidak pernah di capai panca indera, sudah pasti manusia akan berbeza. Perbezaan soal agama tidak akan terungkai dengan kata pujangga, tidak akan terlerai dengan pemikiran manusia, tidak akan usai dengan rasa panca indera, ianya hanya akan selesai dengan arahan pencipta, yang hanya sampai pada rasulnya.

Urusan agama harus di dasari dengan firman ilahi, yang diperincikan hukumnya oleh nabi, yang diajarkan kepada sahabat baginda sendiri, lalu diajarkan pada tabií, kemudian disalurkan pada yang mengikuti. Mereka inilah generasi yang paling memahami urusan agama ini, generasi yang paling baik pernah wujud di muka bumi, sebagaimana yang pernah di sabda Nabi dalam hadis yang diriwayatkan Bukhari :


خَيْرُكُمْ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ
"Sebaik-baik kalian mereka yang bersama kurunku ini, kemudian yang sesudahnya, kemudian yang sesudahnya"

Sangat benar sabda baginda, amat tepat apa yang dikata, sejarah dunia menjadi buktinya. Agama ini amat terjaga dizaman mereka, quran dan sunnah terpelihara, ibadah dan syaráh terlaksana, bidáh dan khurafah tertunduk hina, ahli sunnah dan jama'ah menjadi panglima dunia. Ya! Inilah natijahnya apabila agama ditunjangkan pada sumber aslinya.

Amat sedih apabila aku fikirkan apa yang berlaku sekarang. Kanak-kanak agama mula bersuara, istilah-istilah agama mula diguna, dalil-dalil agama dijadikan senjata, bukan untuk mempertahankan isi agama, bukan untuk menzahirkan identitinya, bukan untuk memelihara keasliannya, tetapi untuk mempertahankan maslahah dunia, sehingga sanggup menikam agama yang sedia terluka, gara-gara senjatanya diguna untuk bergurau senda, oleh kanak-kanak yang bergelar ketua lembaga, bergelar hakim bijaksana, bergelar pahlawan negara dalam dunia agama kanak-kanak mereka.

Dalam dunia moden, semua perkara adalah bebas, dari yang di bumi hingga ke angkasa lepas, semua orang memiliki media tersendiri, semua orang boleh katakan apa yang mereka mahu, semua orang boleh fikir apa yang mereka hendak, semua orang boleh faham apa yang mereka ingin. Tetapi, adakah semua perkataan itu benar? Semua pemikiran itu sahih? Semua pemahaman itu tepat? Tidak! Seribu kali tidak.

Bagaimana boleh ku terima istilah-istilah yang mereka jaja " Sunnah itu adalah apa yang ditambah-tambah, ibadah itu adalah apa yang nenek moyangku sembah, syariáh itu adalah apa yang diputuskan dimahkamah, aqidah itu adalah apa yang akalku katakan sah". Keliru! Sangat keliru!

Kadang kadang air mataku mengalir memikirkan keadaan ummah. Syubuhat aqidah, penyelewengan ibadah, penyuburan bidáh semuanya dianggap sebagai hasanah. Manakala quran dan sunnah, fahaman salaful ummah dianggap punca umat berpecah, sehingga diri ini serba salah, dipandang sebagai pesalah, dipaksa untuk mengalah, disuruh menyerah kepada apa yang aku pasti bukan dari syariáh. Kalau bukan kerana izzah yang dijanjikan Allah, sudah pasti badanku lemah, semangatku patah, cuba menyerah kepada yang salah.

Wahai diriku! Yakinlah! Kalau kamu inginkan kemuliaan, jika kamu mahukan keizzahan, pastikan dirimu bersama al-quran, ikatkan dirimu dengan sunnah rasul junjungan, ikutkan jejak langkahmu pada zaman-zaman pilihan, teruskan perkataan yang baik, teruskan beramal soleh, pasti izzah yang kamu inginkan akan hadir walau ada yang cuba menghalang. Ingatkan selalu firman tuhan :

مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْعِزَّةَ فَلِلَّهِ الْعِزَّةُ جَمِيعًا إِلَيْهِ يَصْعَدُ الْكَلِمُ الطَّيِّبُ وَالْعَمَلُ الصَّالِحُ يَرْفَعُهُ

"Barangsiapa yang menghendaki kemuliaan, maka bagi Allah-lah kemuliaan itu semuanya. Kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang saleh dinaikkan-Nya"


Sekian! Sekadar keluhan yang ku ukir dalam bentuk tulisan agar jadi batu loncatan untuk ku terus berjuang.

Pengalaman Di Pagi Hari

on Ahad, 25 April 2010

Alhamdulillah pada pagi tadi, pagi ahad 25 April 2010, saya berjaya tiba di kelas lebih awal dari biasa, kerana sudah menjadi kebiasaan, saya hanya akan hadir di kelas tepat pada jam 7.30 pagi, maklumlah bangunan Fakuti Da'wah dan Usuluddin terletak bersebelahan bangunan hostel yang saya tinggal, hanya memerlukan beberapa langkah untuk tiba di kelas pengajian.

Pada pagi ini, saya dapat merasakan semangat yang luar biasa, badan sehat segar, muka berseri-seri, bibir tersenyum sambil megucapkan salam pada setiap orang yang saya temui, kaki terasa ringan untuk melangkah hadir dalam subjek "Tadribud Duáat" iaitu "Latihan pendakwah", salah satu subjek yang diajarkan kepada pelajar-pelajar di peringkat sarjana dakwah, subjek ini bertujuan melatih pelajar berdakwah secara praktikal mengikut adab dan tatatertib islam yang digabung dengan ilmu pengucapan awam moden. Antara yang diajarkan ialah bagaimana berkhutbah, berceramah, berforum, berucap dalam radio dan tv, dan sebagainya.

Ketika saya sampai di kelas, saya dapati pensyarah subjek , Al-Sheikh Abd Rab Nawwabuddin Ali-Nawwab, telah menunggu di kelas bersama beberapa orang rakan-rakan pelajar. Sheikh Abd Rab merupakan salah seorang profesor dalam bidang dakwah di Universiti Islam Madinah yang terkenal dan dihormati di Arab Saudi, beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam berdakwah di dalam dan luar negara terutama di Amerika Syarikat dan negara-negara eropah.

Apabila tiba jam 7.35 pagi, kelas dimulakan. Setelah menyampaikan beberapa nasihat penting untuk pelajar-pelajar, beliau membacakan senarai nama pelajar-pelajar yang dikehendaki untuk menyampaikan khutbah didepan kelas pada hari ini dan diadili oleh 14 orang pelajar yang lain bersama sheikh, seorang demi seorang nama disebutkan…ternyata nama saya disebutkan bersama pelajar-pelajar tersebut. Dengan spontan saya bersuara " Sheikh! Bukan jadual saya berkhutbah hari ini", sambil tersenyum beliau menyemak semula senarai di laptop beliau, lalu berkata " Tidak! Hari ini memang jadual kamu berkhutbah, tajuk yang kamu pilih : Amalan- amalan untuk mencari cinta dari Allah"

Subhanallah! Dengan serta merta keadaan dalam diri saya berubah, perut yang tadi sehat menjadi sakit, muka yang tadi bersiri menjadi pucat, bibir yang tadi tersenyum ditutup rapat, kaki yang tadi ringan menjadi berat…Ya Allah! Macam mana ni? Masa sudah dekat, nak buat persediaan pun tak sempat, tajuk pula tidak bebas, kena berkhutbah secara spontan selama sepuluh minit, dalam bahasa arab pula tu… saya cuba kumpulkan isi-isi yang hendak disampaikan sambil mendengar rakan yang telah mulak berkhutbah..Ya Tuhanku! satu isi pun tak kunjung tiba di benak fikiran saya pada masa itu, sedangkan tajuk yang sama pernah saya sampaikan dalam bahasa arab kepada pelajar-pelajar peringkat ijazah dari Kemboja ketika menggantikan kelas Sheikh Abu Bakar Al- Bakhit, di Pejabat Dakwah Warga Luar berdekatan dengan Masjid Nabawi.

Hati saya semakin tidak tenang, muka kawan-kawan yang sedia mengkritik terbayang bagaikan juri-juri Akademi Fantasia, cermin mata semakin kabur… Ya Allah! Tolonglah hambamu ini wahai yang Maha Penolong!...saya pun mengangkat tangan meminta izin untuk keluar. Apa lagi! Dengan pantas saya ke bilik hostel yang tidak jauh dari kuliah, terus saya bongkar meja tulis mencari kertas persediaan yang pernah saya coret dulu ketika menggantikan Sheikh Abu Bakar Al- Bakhit, tapi malangnya kertas itu tidak saya temui…tiada cara lain, terpaksa minta bantuan dengan "Maktabah Syamilah" dalam lap top… tatkala laptop di buka, terpampang di desktop fail word yang bertajuk "10 sebab untuk di cintai Allah", antara koleksi penulisan peribadi dalam bahasa arab, isi utamanya saya nukil dari kitab "I'lamul Muwaqqiín" oleh Ibnul Qayyim Al-jauzi.

Fail word inilah penyelamat keadaan- selepas pergantungan pada Allah- , isi-isinya sangat berharga, dipenuhi dengan dalil-dalil dari Al-Quran dan Al-Sunnah serta kata-kata salafus salih. Fail ini saya baca sekali imbas, lalu saya salin dalil-dalil yang perlu diatas kertas nota kecil, lalu saya bawa bersama ke kelas. Tatkala saya tiba di kelas, Sheikh sedang membuka peluang kepada pengkritik-pengkritk yang menjadi juri penilai kepada khutbah dua rakan dari Mesir dan Afghanistan yang mendahului saya menyampaikan khutbah.

Setelah duduk sebentar, Sheikh pandang pada saya sambil tersenyum lalu bertanya "adakah kamu bersedia" saya menjawab "Ya", lalu saya kedepan memulakan khutbah.
Alhamdulillah! Allah lancarkan lidah saya dan dapat menyampaikan isi khutbah dengan baik walaupun terdapat kesilapan kecil baris nahu pada beberapa perkataan... Alhamdulillah! Setelah dibuka peluang untuk kawan-kawan memberi pandangan dan mengkritik khutbah yang saya sampaikan, ternyata sangat sedikit yang diperingatkan. Malah, beberapa kritikan rakan-rakan terutama berkaitan uslub balaghah " Iltifat min Sighatil Jamí ila Mufrad" yang saya guna dalam khutbah, dipertahankan oleh Sheikh sendiri dan beliau menyatakan uslub itu digunakan oleh Al-Quran dan Al-Sunnah pada banyak tempat, walaupun jarang digunakan dalam khutbah-khutbah moden.

Alhamdulillah! Selesai sudah segala masalah, badan, muka, bibir, kaki kembali normal seperti biasa. Insya-Allah, latihan forum yang akan saya pengerusikan dua minggu lagi akan berjalan lancar, tanpa sebarang masalah. Amin…

Pastikan Semua Tindakan Menjadi Ibadah

on Khamis, 22 April 2010

Bismillah….Amma Ba'd :
Salam Ukhuwah untuk semua sahabat-sahabat. Oleh kerana kesebokan, ana tak dapat mengemaskini tulisan blog ini dengan konsisten… jadi, untuk memeriahkan blog ini, ana copy saja apa yang ana komen kat facebook, yang ana rasa bermanfaat untuk dikongsikan, sekiranya ada kesilapan bahasa, ejaan, tidak menyebut dalil, dan sebagainya (memang ada), ana minta maaf, ana tak dapat nak betulkan kerana kesebokan yang teramat buat masa sekarang...

Puan Rahmah Ahmad, salah seorang rakan facebook yang ana hormati mengemukakan soalan seperti berikut :

Soalan :
Apa lagi boleh kita buat supaya pahala btambah?.............................tolong bri pendapat wahai kwn2 ku yg d kasihi......................tq................

Jawapan :

Terapkan 3 perkara dalam semua tindakan, termasuk tindakan 2 yang bukan ibadah pada asalnya, apatah lagi yang berbentuk ibadah :
1. Niatkan tindakan tersebut kerana Allah : makan, minum, mandi, tidur......dll, selagi bukan yang haram, niatkan semoga segala tindakan kita itu lebih mendekatkan diri pada Allah. Semua orang mandi, tetapi yang mandi untuk meyegarkan diri untuk ibadah, dapat pahala......

2. Segala tindakan cuba diakaitkan pada sunnah rasulullh s.a.w . Dalam urusan agama memang totally perngikutan hanya pada rasulullah, tetapi pada urusan dunia juga apabila di niatkan untuk ikut rasulullah, tindakan tersebut akan diganjari seperti makan, minum, berjalan, berpakaian, minat dan sebagainya, ini semua adalah sifat rasulullah sebagai seorang insan, tetapi kalau kita niatkanuntuk ikut sunnah, baru dapat pahala...kalau tidak, orang yang sikat rambut, setakat sikat rambut, yang pakai minyak wangi setakat pakai minyak wangi (bagi lelaki sahaja, yg perempuan dilarang mewangikan diri di depan lelaki ajnabi, dah masuk haram kalau dibuat), tetapi kalau mereka sikat rambut, dan berminyak wangi kerana mengikut rasulullah saw, insya-Allah akan diberi pahala.

3. Hadirkan perasaan "Ihtisab" iaitu inginkani pahala dari Allah. Segala amalan dan tindakan yang ditunjangi perasaan ini, akan tertakluk pada hukum Allah, dan dijauhkan dari perkara yang boleh merosakkan amalan tersebut seperti riya' dan sombong dalam makan, minum, berjalan,...dll, apatah lagi riya' dalam beribadah.

Sekian untuk perkongsian ringkas, semoga berfanfaat. Wassalam

Melompat dan menari mencari redha Ilahi

on Rabu, 21 April 2010


Bismillah….Amma Ba'd :

Aqal manusia ibarat ladang, berfikir bagaikan menanam, sekiranya benih yang ditanam itu sering disiram, sudah tentu akan tumbuh menjadi pohonan, akarnya menjalar, batangnya kukuh besar, tidak mudah ditumbangkan.

Ramai yang tertipu dengan ideologi, fahaman dan budaya yang dilempar benihnya oleh musuh islam dalam diri mereka. Fahaman ini kemudiannya terus disiram, dibelai sehingga tumbuh tegap menjadi suatu prinsip dan pendirian yang tidak mudah diubah atau ditumbangkan.

Tidak hairanlah apabila kita melihat sebahagian orang islam yang bermati-matian siang dan malam, pagi dan petang mempromosikan candu syubuhat dan ganja syahawat yang diimport dari musuh dan dipasarkan dalam pasaran masyarakat, sehingga hasil keuntungannya telah dirasai dan dinikmati bersama oleh pembekal, pengimport, pengedar, peniaga dan penjaja pahaman dan pemikiran tersebut.

Fenomena pengimportan fahaman dan budaya yang bertentangan dengan agama membuat kita amat berduka. Namun, paling kurang kita kenal bahawa sekularisme, feminisme, hedonisme dan sebagainya bukan dari agama, hanya bahan import semata.

Sesuatu yang lebih membimbangkan kita, apabila ada yang mendakwa sebagai golongan agama mula menjaja dan menaja sesuatu perkara yang bertentangan dengan ajarannya, tetapi dilebelkan dengan jenama agama. Tajuk yang ingin saya kongsikan bersama untuk difikirkan seketika walaupun mungkin ada yang akan terasa, namun diharapkan dapat meningkatkan kefahaman kita kepada agama, dan menjadi hujah didepan Allah bahawa saya telah menyampaikan apa yang saya tahu, saya berharap kepada rakan-rakan taulan yang terlibat dengan amalan seperti ini agar meninggalkannya dan kembalilah beramal ibadah kepada Allah dengan cara yang diajarkan syariat . Tajuk yang saya maksudkan ialah

" Melompat dan menari mencari redha Ilahi"

Kedengaran pelik, tapi benar. Amalan menari, berjoget, melompat-lompat sambil memekikkan zikir dan doa mula tersebar dengan meluas dalam masyarakat kita sekarang. Malah, golongan yang pro kepada amalan-amalan sebegini mula mencari-cari dalil dari quran atau sunnah untuk membenarkan apa yang mereka lakukan. Saya tidak faham bagaimana cara mereka memahami firman Allah s.w.t dalam surah Al-'Araf, Ayat 55:

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

"Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas".

Perlu diingatkan bahawa perbincangan saya hanya berbentuk akademik dan berbentuk umum tanpa menyentuh atau ditujukan pada individu tertentu. Demikian juga tajuk yang saya bawa memfokuskan masalah berjoget dan menari untuk tujuan ibadah atau lebih mudah difahami beribadah kepada Allah dengan berjoget, bukan pada hukum berhibur dengan berjoget atau berjoget untuk berhibur, walaupun kedua masalah mempunyai banyak persamaan, namun masalah hiburan memerlukan perbincangan khas.

Dua dalil asas yang sering digunakan sebagai oleh golongan yang membolehkan joget sambil berzikir ialah:

1. Firman Allah SWT :

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

(آل عمران : 191)

"Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): 'Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.'"

(Surah 'Ali-'Imran ayat 191).

Golongan yang menyokong tarian zikir berhujah bahawa dalam ayat ini menerangkan bahawa zikrullah boleh dilakukan dalam pelbagai keadaan dan gaya termasuk menari, melompat, memekik dan sebagainya.

Mereka juga berhujah bahawa Rasulullah SAW berzikrullah (berzikir kepada Allah) dalam semua keadaan. Sedang berjalan, menaiki kenderaan, di atas kenderaan, berbaring, duduk dan bermacam lagi pernah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

Jawapan :

Tidak dinafikan bahawa Rasulullah SAW berzikir dalam setiap keadaan, hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah dalam sahih muslim menjadi bukti. Manakal ayat al-quran diatas menerangkan keadaan golongan ulil albab yang berfikir tentang makhluk ciptaan Allah dan berzikir padaNya dalam setiap keadaan dalam kehidupan mereka, kerana manusia tidak terlepas dari tiga keadaan, sama ada berdiri, duduk, atau berbaring.

Tidak ada sebarang perbezaan pendapat dan pandangan disini. Namun, soalnya, adakah makna ayat ini menyokong perbuatan menari dan berjoget untuk berzikir? adakah ayat membolehkan diadakan acara ritual khusus dengan melompat, menari dan berjoget? Tidak!...ayat ini hanya menerangkan secara umum masyru'nya berzikir dalam setiap masa dan keadaan, sedangkan wujud keadaan tertentu yang dilarang berzikir padanya, ketika dalam tandas. Begitu juga perlu diingatkan bahawa apabila ingin dikhususkan ibadah yang am dengan waktu tertentu, atau tempat tertentu, atau cara tertentu, atau dihadkan dengan bilangan tertentu, atau dikatakan mempunyai fadhilat tertentu, maka wajib mempunyai dalil yang sahih dan kukuh untuk tujuan tersebut, bukan dengan mudah mewajibkan atau mensunatkan sesuatu amalan dengan sewenang-wenangnya.

Mamang boleh berzikir pada bila-bila masa, tetapi apabila dikhususkan "Pada waktu sekian, ini zikirnya. Ketika kamu tiba di tempat sekian, ini zikirnya. Apabila kamu berzikir dengan lafaz sekian, ini caranya. Apabila kamu baca zikir sekian, ini bilangannya". Semua jenis pengkhususan ini memerlukan dalil yang sahih. Kalau memang mempunyai dalil, silakan! seperti mengkhususkan beberapa zikir tertentu pada waktu pagi dan petang, wirid-wirid tertentu selepas solat, dan waktu-waktu lain yang mempunyai dalil. Begitu juga, apabila dikhususkan tempat atau keadaan tertentu dengan zikir tertentu, kalau ada dalil, silakan! seperti zikir tertentu ketika di arafah, doa tertentu ketika tawaf, dan sebagainya. Begitu juga apabila dikhususkan dengan cara tertentu untuk zikir tertentu, seperti zikir ketika ruku', sujud, atau dikhususkan bilangan seperti baca tasbih, tahmid dan takbir sebanyak 33 kali selepas solat, baca beberapa zikir pagi petang sebanyak 3 kali, dan sebagainya…semua ini wajib mempunyai dalil sahih. Kalau tidak mempunyai dalil, ibadah am tetap am, zikirlah apa-apa zikir yang lafaznya diajarkan agama, pada bila-bila masa, di mana-mana, dalam keadaan apa jua, berapa banyak juga yang termampu.

Apakah dalil orang mengkhususkan cara berzikir dengan berjoget, melompat, dan menari? Dimanakah dalil mereka yang mengkhususkan lafaz tertentu untuk upacara ritual zikir mereka? Apakah dalil bagi setengah mereka yang mengkhususkan waktu tertentu untuk upacara mereka? Apakah dalil mereka menggabungkan muzik dan tarian yang menjadi syiár golongan fasik dalam ibadah mereka?

Apabila ditanya, ramai pengikut-pengikut hanya menjawab "urusan ini kami serahkan pada sheikh, kamu ikut sahaja", apabila ditanyakan pada sheikh, macam-macam jawapan yang diterima, ramai yang menyerahkan urusan mencari dalil pada sheikh yang lebih besar, tidak kurang yang marah apabila ditanya, kerana dikatakan tidak beradab dengan sheikh, apabila dirujuk pada karangan pengasas-pengasas amalan seperti ini, ramai yang berdalilkan mimpi, ilham, gerak hati, pengalaman, rasa khusyu'dan sebagainya. Soalnya, sejak bilakah mimpi-mimpi ,gerak hati dan sebagainya menjadi dalil pada amalan agama? Apa gunanya kita belajar usul fiqh untuk menentukan dalil yang boleh dipakai dalam syariát? Apa gunanya kita mengkaji al-quran dan al-sunnah sebagai rujukan dalam kehidupan? Semua kita bermimpi, semua mempunyai gerak hati, semua mempunyai ilham… mungkin maqam berbeza! Tetapi siapa yang dapat menentukan kedudukan maqam seseorang di sisi Allah? Siapakah yang mengetahui perkara ghaib seperti ini?... semoga Allah memberi petunjuk pada hambanya yang tersilap.

2. Mereka juga berhujah dengan hadis yang di riwayatkan oleh Imam Ahmad-rahimahullah- dalam kitab Al- Musnad, bernombor 857 :

عن هانئ بن هانئ عن على رضي الله عنه قال : أتيت النبي صلى الله عليه و سلم وجعفر وزيد قال فقال لزيد : (أنت مولاي) فحجل قال : وقال لجعفر( أنت أشبهت خلقي وخلقي) قال فحجل وراء زيد قال وقال لي( أنت منى وأنا منك) قال فحجلت وراء جعفر.

" Daripada Hani' bin Hani', daripada Ali -radiyallhuanhu- berkata : Aku telah datang kepada rasulullah saw bersama Ja'far dan Zaid radhiyallahu'anhum- , maka baginda berkata kepada Zaid : ( Kamu adalah 'maula'ku (kekasih), maka zaid pun melompat. Dan baginda berkata kepada Ja'far : Allah menjadikan rupa parasmu dan akhlakmu seiras dengan Allah menciptakan daku, lalu Ja'far pun melompat di belakang Zaid. Dan rasulullah berkata kepadaku (Ali) : Kamu sebahagian dariku dan aku sebahagian darimu. Maka, aku pun melompat di belakang Ja'far".

Jawapan :

Pertama :

Hadis diatas mempunyai dua kecacatan :

1. Diriwayatkan oleh Hani' bin Hani' perawi yang "Jahalah hal" iaitu tidak diketahui keadaannya. Hadis yang diriwayatkan oleh perawi sebegini secara bersendirian adalah lemah dalam ilmu penilaian hadis.

Ibn Hajar Al-Asqalani berkata :

"Ibn Saád meletakkan beliau pada tabaqoh pertama di kalangan ahli Kufah, lalu berkata : Mempunyai unsur-unsur syiáh, manakala Ali Al-Madini berkata : Majhul (tidak diketahui keadaannya dalam periwayatan hadis), dan Harmalah memberitahu bahawa Imam Syafií berkata : Ulama-ulama hadis tidak mengetahui keadaannya maka mereka tidak mensabitkan hadis-hadisnya oleh yang demkian itu".

2. Tadlis Ibnu Ishak Al- Sabi'i. Hadis-hadis yang di riwayatkan oleh Ibnu Ishak secara tadlis adalah lemah.

Jadi, kesimpulannya hadis yang menyatakan bahawa sahabat melompat pada riwayat ini adalah lemah menurut ulama hadis.

Kedua :

Dalam hadis sahih tentang kisah diatas yang diriwayatkan Imam Bukhari , tidak disebutkan perkataan melompat (hajal) yang difahami oleh sebahagian orang sebagai menari seperti dalam riwayat ini.

Ketiga :

Kalaulah dikatakan bahawa hadis ini sahih sekalipun, hadis ini tidak menjadi hujah kepada orang-orang yang berzikir secara menari. Lafaz hadis hanya menunjukkan bahawa sahabat-sahabat tersebut melompat gembira dengan mengangkat kaki sebelah seperti yang dilakukan oleh orang habsyah (Hajal), kerana terlalu girang mendengar pujian rasulullah s.a.w kepada mereka. Melompat gembira dengan cara begini sememangnya harus di sisi syara' selagi tidak mengurangkan adab seorang muslim. Jadi, dimanakah hujahnya bahawa boleh berzikir secara menari atau berjoget?

Keempat :

Para ulama telah menyatakan secara jelas hukum menari dan berjoget dalam berzikir, berikut saya akan menaqalkan teks fatwa mereka dalam bahasa arab kemudian teks itu akan diterjemahkan dalam bahasa melayu. Antara ualam yang menentang amalan ini :

1. Imam Ibnu Qudamah Al-Maqdasi (meninggal pada tahun 620 H).

سُئل الإمام موفق الدين ابن قدامة المقدسي – رحمه الله - :
ما تقول السادة الفقهاء - أحسن الله توفيقهم - فيمن يسمع الدف والشبانة والغناء ويتواجد ، حتى إنه يرقص ، هل يحل ذلك أم لا ؟ مع اعتقاده أنه محب لله وأن سماعه وتواجده ورقصه في الله ؟! أفتونا مأجورين ، رحمكم الله .
فقال :
الجواب وبالله التوفيق :
إن فاعل هذا مخطئ ، ساقط المروءة ، والدائم على هذا الفعل : مردود الشهادة في الشرع ، غير مقبول القول ، ومقتضى هذا : أنه لا تُقبل روايته لحديث رسول الله صلى الله عليه وسلم ، ولا شهادته برؤية هلال رمضان ، ولا أخباره الدينية .
وأما اعتقاده محبة الله : فإنه يمكن أن يكون محبّاً لله سبحانه ، مطيعًا له ، في غير هذا ، ويجوز أن يكون له معاملة مع الله سبحانه ، وأعمال صالحة في غير هذا المقام .
وأما هذا : فمعصية ولعب ، ذمَّه الله تعالى ورسوله ، وكرهه أهل العلم ، وسموه بدعة ، ونهوا عن فعله ، ولا يُتقرب إلى الله سبحانه بمعاصيه ، ولا يُطاع بارتكاب مناهيه ، ومَن جعل وسيلته الى الله سبحانه معصيته : كان حظه الطرد والإبعاد ، ومن اتخذ اللهو واللعب دينًا : كان كمن سعى في الأرض الفساد ، ومن طلب الوصول إلى الله سبحانه من غير طريق رسول الله صلى الله عليه وسلم وسنَّته : فهو بعيد من الوصول إلى المراد .
" جزء فيه فتيا فى ذم الشبَّابة والرقص والسماع " لابن قدامة ، مخطوط ) ورقة2).

Imam Muwaffiquddin Ibnu Qudamah Al- Maqdasi -rahimahullah- telah ditanya :

Apakah pendapat tuan yang faqih mengenai seorang yang mendengar rebana, seruling, nyanyian, dan hadir pada majlis tersebut, bahkan dia menari, adakah halal atau tidak perbuatan ini? Sedangkan dia berkeyakinan bahawa dirinya cinta kepada Allah, mendengar, hadir, dan menyanyi kerana Allah? Terangkanlah fatwa tuan kepada kami, semoga Allah membalasi tuan dengan ganjarannya, dan merahmati diri tuan.

Ibnu Qudamah berkata :

Jawapannya :

Sesengguhnya pelaku perbuatan ini bersalah, kehormatan dirinya jatuh. Orang-orang yang mengamalkan perbuatan ini secara berterusan : kesaksiannya ditolak disisi syara', perkataannya tidak diterima, rentetan daripada ini : tidak diterima periwayatannya dalam hadis rasulullah s.a.w, tidak diterima juga kesaksiannya dalam melihat anak bulan ramadhan, dan tidak diterima berita-berita agama yang dibawa.

Manakala keyakinan bahawa dirinya cinta pada Allah : sesungguhnya kecintaan dan ketaatan tersebut mungkin terjadi selain dari amalan ini, dan mungkin dia mempunyai hubungan dan amalan yang baik dengan Allah selain daripada situasi yang disebutkan ini.

Sedangkan amalan ini : merupakan satu maksiat dan permainan senda, yang dikeji oleh Allah dan rasulnya, dibenci pula oleh ahli ilmu dan mereka menamakan berbuatan ini sebagai bidáh dan melarang dari berlakunya. Tidak boleh bertaqarrub dengan Allah dengan melakukan maksiat kepadanya, tidak boleh juga ketaatan kepada Allah terjadi dengan melakukan larangannya. Barangsiapa yang menjadikan wasilah kepada Allah dengan maksiat dia patut dipulau dan dijauhkan, dan barangsiapa menjadikan permainan dan persendaan sebagai agama, mereka adalah seperti orang yang berusaha menyebarkan kerosakan diatas muka bumi, dan orang-orang yang ingin sampai kepada Allah bukan dengan cara rasulullah s.a.w dan sunnahnya, maka dia sangat jauh untuk mencapai apa yang diidamkannya".

Sila lihat manuskrip : "sebahagian fatwa yang mengutuk penggunaan seruling, tarian dan pendengaran muzik" oleh Imam Ibnu Qudamah, helaian yang kedua(diambil dari al-alukah).

2. Imam Sultanul Ulama Izzuddin bin Abdus Salam –rahimahullah-(meninggal pada tahun 620 H).

Imam izzuddin Abdus Salam adalah salah seorang ulama besar dalam mazhab syafií sehingga digelar "Sultan Ulama". Dalam sebuah artikel yang ditulis oleh seorang pro kepada tarian zikir, mengatakan bahawa Imam ini Ikrar dan bersetuju dengan amalan ini. Namun setelah saya rujuk penulisan tokoh ini sendiri, saya mendapati sesuatu yang sebaliknya. Berikut saya kongsikan apa yang telah beliau sebutkan dalam kitabnya "Qawaidul Ahkam Fi Masalihil Anam" :

..." وأما الرقص والتصفيق : فخِفَّة ورعونة مشبهة لرعونة الإناث ، لا يفعلها إلا راعن أو متصنع كذاب ؛ وكيف يتأتى الرقص المتزن بأوزان الغناء ممن طاش لبه وذهب قلبه ، وقد قال عليه السلام : ( خير القرون قرني ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم ) ، ولم يكن أحد من هؤلاء الذين يُقتدى بهم يفعل شيئا من ذلك ، وإنما استحوذ الشيطان على قوم يظنون أن طربهم عند السماع إنما هو متعلق بالله عز وجل ، ولقد مانوا [ أي : كذبوا ] فيما قالوا ، وكذبوا فيما ادعوا ؛ من جهة أنهم عند سماع المطربات وجدوا لذتين اثنتين : إحداهما لذة المعارف والأحوال المتعلقة بذي الجلال ، والثانية : لذة الأصوات والنغمات والكلمات الموزونات الموجبات للذات النفس التي ليست من الدين ولا متعلقة بأمور الدين ؛ فلما عظمت عندهم اللذتان غلطوا فظنوا أن مجموع اللذة إنما حصل بالمعارف والأحوال ، وليس كذلك بل الأغلب عليهم حصول لذات النفوس التي ليست من الدين بشيء . وقد حرم بعض العلماء التصفيق لقوله عليه السلام : ( إنما التصفيق للنساء ) ، ولعن عليه السلام المتشبهات من النساء بالرجال ، والمتشبهين من الرجال بالنساء .
ومن هاب الإله وأدرك شيئا من تعظيمه لم يتصور منه رقص ولا تصفيق ، ولا يصدر التصفيق والرقص إلا من غبي جاهل ، ولا يصدران من عاقل فاضل .
ويدل على جهالة فاعلهما أن الشريعة لم ترد بهما في كتاب ولا سنة ، ولم يفعل ذلك أحد الأنبياء ، ولا معتبر من أتباع الأنبياء ، وإنما يفعل ذلك الجهلة السفهاء ، الذين التبست عليهم الحقائق بالأهواء .وقد قال تعالى : { وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَاناً لِكُلِّ شَيْءٍ } ، وقد مضى السلف ، وأفاضل الخلف ولم يلابسوا شيئا من ذلك ، ومن فعل ذلك أو اعتقد أنه غرض من أغراض نفسه ، وليس بقربة إلى ربه : فإن كان ممن يُقْتدى به ، ويعتقد أنه ما فعل ذلك إلا لكونه قربة : فبئس ما صنع ، لإيهامه أن هذا من الطاعات ، وإنما هو من أقبح الرعونات " انتهى .
" قواعد الأحكام في مصالح الأنام " (2/349-350) ط مؤسسة الريان .

" Manakala tarian dan tepukan : ianya adalah keringanan (akal) dan kebodohan menyerupai gerakan perempuan, tidak ada yang melakukan demikian itu kecuali orang yang cacat akalnya, atau berpura-pura lagi pembohong, bagaimana dia boleh menari mengikuti dengan irama nyanyian daripada orang yang telah hilang jiwanya, dan telah tiada hatinya! Sedangkan rasulullah s.a.w telah pun bersabda : (Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian kurun yang selepasnya, kemudian yang selepasnya).

Tidak pernah seorang pun yang boleh diikuti amalan mereka melakukan sebarang perbuatan demikian, sesungguhnya demikian itu hanyalah penguasaan syaitan keatas suatu kaum yang menyangka lenggokan mereka ketika mendengar(nyanyian yang dianggap zikir) adalah bentuk pergantungan dengan Allah azza wa Jalla. Sesungguhnya mereka telah tertipu dengan apa yang mereka kata, dan menipu dalam apa yang mereka dakwa. Mereka mendakwa bahawa mereka mendapat dua kelazatan ketika mendengar apa yang didendangkan, Pertama: kelazatan ma'rifah dan keadaan bergantung pada Allah, Kedua: kelazatan suara, lenggokan nada, kata-kata yang tersusun yang membawa kepada kelazatan nafsu yang bukan dari agama dan tiada kaitan dengannya. Tatkala makin besar dua kelazatan ini yang mereka rasa, mereka tersilap dan menyangka bahawa terkumpulnya kelazatan itu berlaku dengan ilmu ma'rifat dan keadaan, akan tetapi tidak begitu, bahkan yang sering berlaku hanyalah kelazatan nafsu semata yang tiada kaitan dengan agama.

Sebahagian ulama mengharamkan tepukan tangan, kerana hadis rasulullah s.a.w: "sesungguhnya tepukan hannya untuk perempuan" dan rasulullah melaknat perempuan yang menyerupai lelaki, begitu juga lelaki yang menyerupai perempuan.

Barangsiapa yang merasai kehebatan Allah, dan menyedari kebesarannya, tidak dapat dibayangkan akan timbul dari dirinya tarian dan tepukan, dan tidak timbul tarian dan tepukan kecuali dari orang yang dungu lagi jahil, tidak akan berlaku pada yang berakal dan mulia.

Bukti kejahilan pelaku kedua perbuatan ini ialah bahawasanya syariát tidak mengajarkannya tidak dari Al-Quran, juga tidak dari Al-Sunnah, juga tidak dilakukan walau seorang dari nabi-nabi, dan tidak diendahkan oleh pengikut-pengikut para nabi, bahkan ianya hanya dilakukan oleh golongan jahil lagi bodoh yang terkeliru hakikat sesuatu dengan nafsu mereka.

Sesungguhnya Allah telah berfirman :"dan kami telah turunkan padamu sebuah kitab yang menerangkan segala perkara", ulama salaf terdahulu telah pergi, begitu juga dengan golongan terhormat dari golongan khalaf kemudian, tiada sebarang perkara yang mengelirukan mereka. Barangsiapa yang melakukan yang demikian, dan yakin bahawa itu merupakan suatu tujuan dirinya, demikian itu bukanlah suatu yang mendekatkan dirinya pada tuhannya, dan sekiranya dia meyakini bahawa demikian itu tidak dilakukan kecuali ingin bertaqarrub dengan Allah, sangat kejinya apa yang telah dilakukan, kerana dia menyangka perbuatan ini sebahagian dari ketaatan, sedangkan ianya hanya suatu bentuk kebodohan"

(Qawaidul Ahkam Fi Masalihil Anam, jilid 2, m/s 349-350, cetakan muassasah Al-Rayyan)

Akhir sekali saya menyeru kepada rakan-rakan yang terpengaruh dengan ajaran tarian zikir ini kembali ke jalan syariat dalam beribadah, sesungguhnya sekiranya berzikir sambil menari itu baik sudah tentu telah ditunjukkan oleh rasulullah, sahabat-sahabat, dan pengikut- pengikut mereka. Agama yang menjamin mereka masuk syurga dahulu, itu jugalah agama yang akan membawa kita ke syurga. Islam tetap islam, dulu, kini, dan selamanya.

Wallahu A'lam. Wasallallhu 'Ala Muhammad wa 'Ala Ali Muhammad.

"Anak aku budak baik"

on Ahad, 4 April 2010

"Anak aku budak baik, budak laki tu pun sopan orangnya, aku dah kenal sangat dia orang berdua tu, takkan pape lah". Begitulah reaksi seorang ibu apabila ditegur membiar anaknya keluar dengan kekasihnya.

Ya, Mak cik, saya tahu anak mak cik memang baik, tapi mak cik percaya ke dengan nafsu dia? yakin ke dengan syahwat budak laki tu? dia orang tu manusia mak cik, bukan malaikat. Allah s.w.t bercerita tentang kata-kata nabi Yusof a.s kepada pemerintah Mesir setelah terbukti bahawa baginda tak bersalah, kata baginda :

وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ (يوسف : 53)
Dan aku tidak mengatakan nafsuku babas (dari kesalahan), karena sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan

Hukum Allah tetap hukum Allah, yang haram tetap haram, jangan ingat hukum Allah cuma releven untuk budak jahat sahaja, yang haram tak bertukar jadi halal hanya dengan pujian dan restu dari mak cik.
Saya bukan nak masuk campur urusan keluarga mak cik, saya pun tak nak bermasam muka dengan mak cik, saya beritahu ni pun sebab saya sayang keluarga mak cik macam keluarga saya sendiri, sebab keluarga mak cik orang baik-baik, orang beriman, sebab kita kena tegur menegur, Allah s.w.t berfirman :
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (71) وَعَدَ اللَّهُ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ وَرِضْوَانٌ مِنَ اللَّهِ أَكْبَرُ ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (72) (التوبة : 71 ، 72)

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana

Allah menjanjikan kepada orang-orang mukmin, lelaki dan perempuan, (akan mendapat) surga yang dibawahnya mengalir sungai-sungai, kekal mereka di dalamnya, dan (mendapat) tempat-tempat yang baik di surga 'Adn. Dan keridhaan Allah adalah lebih besar, demikian itu adalah keberuntungan yang besar.


Kalau saya nak biarkan boleh je, tapi saya takut kita akan tergolong dikalangan kaum munafik, nampak macam baik, tak jaga tepi kain orang, menghargai kebebasan, pemikiran terbuka..dan macam macam lagilah. Tapi Allah berfirman :
المُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُمْ مِنْ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمُنْكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ وَيَقْبِضُونَ أَيْدِيَهُمْ نَسُوا اللَّهَ فَنَسِيَهُمْ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ هُمُ الْفَاسِقُونَ (67) وَعَدَ اللَّهُ الْمُنَافِقِينَ وَالْمُنَافِقَاتِ وَالْكُفَّارَ نَارَ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا هِيَ حَسْبُهُمْ وَلَعَنَهُمُ اللَّهُ وَلَهُمْ عَذَابٌ مُقِيمٌ (التوبة : 67 ,68)
Orang-orang munafi k laki-laki dan perempuan. sebagian dengan sebagian yang lain adalah sama, mereka menyuruh membuat yang munkar dan melarang berbuat yang ma'ruf dan mereka menggenggamkan tangannya(kedekut). Mereka telah lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu adalah orang-orang yang fasik

Allah mengancam orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang kafir dengan neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah neraka itu bagi mereka, dan Allah mela'nati mereka, dan bagi mereka azab yang kekal.

Malah, kalau saya tak tegur nanti, mungkin kena laknat dengan Allah, nabi Daud a.s dan nabi Isa a.s melaknat Bani Israil sebab dia orang ni, dahlah buat jahat pastu tak nak tegur menegur pulak tu. Allah s.w.t menerang perangai mereka dalam ayat berikut :

لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ (78) كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

(المائدة : 78 ، 79)

Telah dila'nati orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka durhaka dan selalu melampaui batas.
Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan munkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.


Lebih dari tu, bahaya maksiat dengan Allah s.w.t , kalau Allah nak turunkan bala, bukan orang tu je yang rasa, malah semua tanggung sebab biarkan kemungkaran berlaku. Allah s.w.t berfirman lagi :

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ [الأنفال : 25]

Dan jagalah dirimu daripada ditimpa siksaan yang tidak menimpa orang-orang yang zalim (iaitu melakukan dosa) sahaja di antara kamu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya.

Akhir sekali, saya minta maaf kalau apa yang saya sampaikan menyinggung perasaan mak cik, saya lakukan semua ni demi kebaikan kita bersama di dunia dan di akhirat.

Bermusuh di hadapan, berkawan di belakang

on Isnin, 29 Mac 2010

Era globalisasi, dunia tanpa sempadan yang kita alami sekarang telah membawa perubahan yang ketara dalam kehidupan kita. Perkara penting yang ingin saya kongsi bersama rakan rakan pada kali ini ialah perubahan drastik seorang yang begitu lantang melaungkan permusuhan dengan syaitan di hadapan jutaan insan, namun menjadi kawan ketika bersendirian…Rasulullah s.a.w telah menceritakan dalam hadis thauban r.a yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, tentang satu golongan manusia dari umat baginda yang datang menghadap Allah s.w.t pada hari kiamat dengan amalan sebesar gunung Tihamah (nama sebuah gunung), namun Allah menjadikannya hilang seperti debu yang berterbangan, baginda kemudian memberitahu bahawa mereka adalah dikalangan umat islam, bangun qiamullail seperti mana orang islam yang lain, tetapi…

ولكنهم أقوام إذا خلوا بمحارم الله انتهكوها

"Tetapi apabila berhadapan dengan larangan Allah secara sunyi , mereka melakukannya".lihat Sunan Ibn Majah : 4245.

Jari dan mata akan menjadi saksi dihadapan Allah, apakah laman web yang kita lawati? berapa lama masa kita sia siakan? berapa nikmat Allah yang kita tujukan untuk melawan perintahnya?... jawab kepada diri sendiri ketika bersendirian sebelum soalan itu dijawab di hadapan Allah ketika di khalayak ramai, jawablah sekarang ketika masih dalam keadaan senang dan aman, sebelum manusia akan jawab dalam keadaan ketakutan dihadapan jahannam..

Gunakan waktu sebaiknya untuk amalan yang terbaik kerana

waktu yang kita miliki di dunia hanya tiga : waktu yang berlalu dan tidak akan kembali, waktu sekarang dan tidak akan kekal, waktu akan datang yang belum tentu kita miliki……….

Semoga Allah menjadikan kita dikalangan hambanya yang bertaqwa.