Gelaran Pengambil Harta Haram

on Khamis, 13 September 2012


Kali ini saya nak kongsi sedikit nota yang pernah saya catat tentang perbezaan istilah bahasa arab yang dipakai sebagai gelaran bagi pencuri atau lebih tepat, gelaran bagi pengambil harta manusia secara batil, istilah-istilah ini cukup banyak, cuma saya nak bezakan antara empat istilah yang hampir sama makna  :

السارق – المختلس – المنتهب - الغاصب

Menurut Fadhilatul Shiekh Utsaimin Rahimahullah, perbezaan antara istilah-istilah diatas adalah seperti berikut :
  1. As- Sariq : Orang yang cuba menyembunyikan perbuatannya dari awal hingga akhir
  2. Al- Mukhtalis :  Orang yang memperlihatkan dirinya dari awal hingga akhir, tidak memaksa pemiliknya untuk menyerahkan harta tetapi merebut harta tersebut dari tuannya
  3. Al- Muntahib : Sama seperti yang kedua, cuma orang ini menyembunyikan dirinya pada peringkat awal
  4. Al- Ghasib : Sama seperti yang kedua, cuma orang ini memaksa pemiliknya secara keras untuk menyerahkan harta kepadanya                                                                                              

(dipetik dari kitab : Al- Muntaqa Min Faraidil Fawaid Libni Uthaimin)



Kalau dalam istilah bahasa melayu saya cuma dapat pastikan gelaran bagi golongan pertama iaitu pencuri, manakala gelaran yang kedua, ketiga dan keempat mungkin berkisar antara beberapa istilah seperti perompak, penyamun, perampas, lanun, pembelot dan sebagainya

Mohon bantuan daripada pakar-pakar bahasa melayu untuk meletakkan istilah yang tepat bagi golongan kedua hingga keempat.



Kedudukanmu Disisi Tuhanmu

on Rabu, 12 September 2012


Sebahagian manusia mengukur kedudukannya di sisi Allah s.w.t dengan melihat jumlah rezeki yang di kurniakannya, di sangka bahawa banyaknya rezeki menandakan Allah sayang dan redha kepadanya , kurangnya rezeki menandakannya Allah menghinakannya,tidak, bukan begitu, sesungguhnya mereka tersilap, pemikiran begini telah disangkal oleh Alllah s.w.t  :

فَأَمَّا الْإِنْسَانُ إِذَا مَا ابْتَلَاهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَكْرَمَنِ (الفجر : 15)

“ Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia akan berkata: "Tuhanku telah memuliakanku".”

وأَمَّا إِذَا مَا ابْتَلَاهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَهَانَنِ (الفجر : 16)  
“Adapun tatkala Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: "Tuhanku menghinakanku"

Kekayaan bukanlah suatu kemuliaan, kemiskinan bukanlah suatu kehinaan, bukan harta yang menentukan kedudukan seseorang hamban disisi Tuhannya, Allah mengurniakan rezeki kepada hambanya yang baik mahupun jahat, yang taat ataupun ahli maksiat, baginda rasul s.a.w bersabda dalam hadis yang sanadnya baik :  

إن الله يعطي الدنيا من يحب ومن لا يحب، ولا يعطي الدين إلا لمن يحب، فمن أعطاه الله الدين فقد أحبه ( رواه أحمد)

“Sesungguhnya Allah s.w.t  memberikan dunia kepada seseiapa yang dicintai dan sesiapa yang tidak dicintai, namun Dia tidak memberi agama kecuali kepada sesiapa yang dicintai, maka, barangsiapa yang Allah s.w.t berikan kepanya agama, sesungguhnya Allah telah mencintainya”

Barangsiapa yang ingin tahu kedudukannya disisi Allah maka lihatlah kepada apa yang telah dia lakukan kepada agamanya, dua telapak kaki kemana ianya suka melangkah? dua telinga apa yang seronok didengar? Dua biji mata apa yang sering dilihat? Lidah  yang dimiliki apa yang dibicarakan? Dan tanyakanlah soalan ini pada tiap-tiap anggota diri anda, dari sini anda dapat tahu sendiri dimanakah kedudukan anda di sisi Allah s.w.t.
Wallahu Ta’ala A’lam




Dua Jenis Rezeki

on Ahad, 9 September 2012


Rezeki yang Allah kurniakan kepada hambanya  ada dua jenis :

1.       Rezeki  Umum : Iaitu rezeki  tubuh badan seperti makan, minum, harta benda dan sebagainya  yang dikurniakan kepada semua makhluk sama ada yang baik atau jahat, mu’min  atau kafir. Allah berfirman yang yang ertinya :
 “Dan tidak ada suatu yang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezekinya” . Surah Hud: 6

2.       Rezeki Khusus :  Iaitu rezeki  hati yang berisi ilmu dan iman dan rezeki  halal yang mengisi tubuh yang hanya di kurniakan kepada hamba-hambanya yang saleh. Allah berfirman yang ertinya  :

 “Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan mengerjakan amal yang saleh niscaya Allah akan memasukkannya ke dalam surga-surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah memberikan rezki yang baik kepadanya”. Surah At-Tholaq : 11




Rezeki yang pertama nikmatnya sementara manakala rezeki kedua nikmatnya kekal selamanya.

Allah melarang hambanya hanyut dalam mencari rezeki yang bakal binasa meninggalkan rezeki yang membawa bahagia selamanya. Allah berfiman yang bermaksud :

Apa yang di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan”.  Surah An- Nahl : 96  

Semoga  Allah menjadikan kita dikalangan hambanya yang saleh dan dikurniakan rezeki syurga diakhirat kelak. Allahumma Amin.