Apakah Sumbanganku Untuk Agamamu?

on Selasa, 7 Jun 2011


Ya Allah! Adakah benar selama ini aku telah berbakti kepada agamamu? Atau hanya aku berbudi kepada diriku? Adakah waktu yang ku habiskan selama ini dalam menuntut ilmu, benar- benar untuk agamamu atau hanya untuk memperbanyakkan gajiku? Adakah kesarjanaan yang ku kejar sekarang ini hanya kerana gelaran dunia dan pujian dari makhlukmu?
Ya Allah adakah selama ini telah ku curahkanku usaha-usahaku untuk agamamu? Ceramah demi ceramah, tazkirah demi tazkirah, risalah demi risalah, maqalah demi maqalah, tapi terkadang ku rasakan ianya hanya untuk diriku..segala kalimah yang ku keluarkan, segala detik yang ku luangkan, dibayar dengan gaji dan upah ..Ya Allah adakah aku benar-benar telah menyumbang untuk agamamu ya Allah?
Ya Allah adakah selama ini aku berkhidmat untuk agamamu, atau hanya menggunakan agama untuk berkhidmat pada kehendak duniaku?
Aku terfikir, apakah yang di inginkan nabi Nuh a.s selama hampir seribu tahun di kutuk sebagai si gila yang terhina? Apakah yang dimahukan nabi Ibrahim a.s sehingga dicampakkan kedalam api yang menyala? Apakah yang dikehendakkan nabi Ismail a.s sehingga sanggup disembelih sendiri oleh bapanya ? Apakah yang dikejarkan nabi Zakaria sehingga digergaji kepala dan tubuhnya?
Aku bertanya, adakah pernah Imam empat mazhab mendapat sebarang habuan duniawi dengan ilmu mereka? Adakah Imam Bukhari mensyaratkan hak cipta terpelihara untuk kitab-kitabnya? Adakah Imam Ibnu Taimiyah mengejar pangkat dengan usaha dakwahnya?..Tidak, demi Allah tidak! mereka semua tidak bekerja hanya untuk menyumbang tanpa pernah terfikir mencari sumbangan, siang dan malam mereka adalah untuk memberi, bukan untuk meminta sebarang gaji.
Ya Allah jadikanlah daku dikalangan hambamu yang ikhlas menyumbang untuk agamamu, jadikanlah aku dikalangan hambamu yang member manfaat kepada agamamu dan umatnya, bukan daripada yang memanfaatkan agamamu untuk dirinya…Amin Ya Rabbal ‘Alamin